Pelancong China Di Johor Kes Coronavirus Ke-15

Kes baharu adalah seorang pelancong wanita berumur 59 tahun dari Wuhan yang datang ke Malaysia dari Singapura bulan lalu.

KUALA LUMPUR, 7 Feb — Seorang pelancong warganegara China diuji positif untuk novel coronavirus dari Wuhan, kes ke-15 di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata hari ini.

Kes baharu tersebut, seorang wanita dari Wuhan, China telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai, Johor Baru, dan berada dalam keadaan stabil. Dia dikesan positif untuk 2019-nCoV semalam.

Wanita tersebut, umur 59, bersama dengan suami, anak lelaki, dan menantunya tiba di Singapura pada 17 Januari. Mereka kemudiannya pergi ke Johor Baru pada 21 Januari.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad kata pada kebanyakan masa, wanita tersebut hanya berada di tempat penginapannya, tetapi mula mengalami gejala demam pada 26 Januari.

“Beliau tidak mendapatkan rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan dan hanya mengambil ubat demam yang dibeli anaknya dari farmasi berhampiran tempat penginapannya,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Dia dijadualkan pulang ke China pada 4 Februari dengan menaiki penerbangan dari Johor Baru ke Guangzhou, China, tetapi menangguhkannya kerana kurang sihat. Anak lelaki dan menantunya pulang ke China pada hari itu.

Wanita itu masih tidak sihat setelah ubatan yang diambilnya habis dua hari lepas. Dia dirujuk ke hospital bagi menerima rawatan selanjutnya, selepas pihak Pejabat Kesihatan Daerah menerima pemakluman dari pihak pengurusan tempat penginapannya.

Manakala, suaminya, yang berusia 66 tahun, telah diletakkan di wad isolasi hospital yang sama. Beliau, bagaimanapun, tidak bergejala, tetapi sampel telah diambil dan menunggu keputusan makmal.

Dengan pertambahan satu kes baru ini, jumlah kumulatif kes 2019-nCoV yang dilaporkan di Malaysia sehingga hari ini adalah sebanyak 15 kes yang terdiri daripada tujuh kes dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan 2019-nCoV, enam kes dalam kalangan kontak rapat, dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan dari negara China.

Daripada jumlah tersebut, sebelas kes adalah warganegara China dan empat orang adalah warganegara Malaysia, kata Dzulkefly.

Manakala, jumlah kumulatif kes PUI jangkitan 2019-nCoV adalah 313 orang, di mana 198 adalah warganegara Malaysia, 107 warga China dan masing-masing satu warganegara Australia, Republik Korea, Jordan, Brazil, Kanada, Bangladesh, Indonesia, dan Thailand. Sebanyak 297 kes sudah dikesan negatif, dan sembilan kes masih menunggu keputusan makmal.

You may also like