KKM: Kes Influenza Masih Naik

Jumlah kumulatif wabak jangkitan salur pernafasan yang dilaporkan sehingga 18 Januari 2020 adalah sebanyak 186 wabak, berbanding 11 wabak yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

KUALA LUMPUR, 22 Jan — Trend aktiviti influenza, meliputi kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan severe acute respiratory infection (SARI), masih merekodkan peningkatan.

Namun, aktiviti survelan makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh tidak mengesan sebarang kelainan, perubahan, atau mutasi pada virus influenza yang menular sekarang.

Dalam sebuah kenyataan semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kadar konsultasi kes ILI pada minggu kedua tahun 2020 yang berakhir pada 11 Januari adalah 4.02 peratus.

Ini adalah peningkatan berbanding 3.73 peratus yang direkodkan pada minggu sebelumnya, mahupun 3.88 peratus yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

Manakala, kadar kemasukan kes SARI ke wad adalah 5.23 peratus, peningkatan berbanding 4.92 peratus yang direkodkan pada minggu sebelumnya mahupun 4.60 peratus yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

Jumlah kumulatif wabak jangkitan salur pernafasan yang dilaporkan pada tahun ini sehingga 18 Januari 2020 (Minggu Epid 3/2020) pula adalah sebanyak 186 wabak, berbanding 11 wabak yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

Walaupun jangkitan influenza tidak tertakluk kepada keperluan pelaporan atau notifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih memantau trend aktiviti influenza mahupun kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan melalui sistem pelaporan sedia ada daripada lokasi-lokasi sentinel yang telah dikenalpasti di seluruh negara.

Dr Noor Hisham juga berkata bahawa KKM secara berterusan bekerjasama dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memantau situasi kejadian influenza melibatkan institusi pendidikan.

Majoriti pelaporan kejadian jangkitan saluran pernafasan yang diterima oleh Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, KKM untuk tiga minggu pertama tahun 2020 adalah melibatkan institusi pendidikan.

Setakat ini hanya dua buah sekolah sahaja ditutup akibat penularan jangkitan influenza, iaitu Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak (mulai 11 hingga 19 Januari 2020) dan Sekolah Kebangsaan Stella Maris, Tanjung Aru, Sabah (mulai 22 hingga 28 Januari 2020).

Manakala penutupan kelas pula dilaksanakan oleh tiga buah sekolah di Pulau Pinang, yang setiap satu daripadanya melibatkan pelbagai tempoh masa yang berlainan antara satu dengan yang lain iaitu hasil perbincangan antara pihak Pejabat Kesihatan dan pihak sekolah yang terlibat.

“Namun, KKM ingin menegaskan bahawa kesemua wabak yang dilaporkan berlaku di institusi pendidikan berada dalam keadaan terkawal dan langkah-langkah kawalan serta pencegahan telah dilaksanakan,” kata Dr Noor Hisham.

You may also like