Sekolah Sabah Tutup Akibat Wabak H1N1

Seramai 12 murid sekolah rendah di Sabah dijangkiti dengan Influenza A.

KUALA LUMPUR, 21 Jan — Sekolah Kebangsaan Stella Maris, Tanjung Aru, akan tutup esok berikutan wabak Influenza A (H1N1), sekolah pertama di Sabah yang ditutup akibat wabak tersebut.

Berita Harian melaporkan sekolah tersebut akan ditutup dari esok sampai 28 Januari.

“Langkah penutupan sekolah berkenaan adalah perkara formal untuk memastikan langkah-langkah pencegahan dapat dilakukan,” Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Frankie Poon Ming Fung dilaporkan berkata.

The Star melaporkan enam murid di Sekolah Kebangsaan Stella Maris dijangkiti dengan H1N1, menurut Poon.

Menurut Berita Harian, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah merekodkan pada Isnin lalu seramai 12 murid sekolah rendah yang dijangkiti dengan Influenza A.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata pada 14 Januari lalu bahawa pembekalan vaksin influenza dan ubat antiviral Oseltamivir telah habis di fasiliti kesihatan swasta.

Walau bagaimanapun, hampir 100,000 dos vaksin influenza akan dibawa masuk pada bulan ini untuk sektor swasta. Vaksin influenza hanya ditawarkan di fasiliti KKM untuk pesakit berisiko tinggi dan golongan anggota barisan hadapan KKM yang terdedah kepada jangkitan semasa mengendalikan pesakit.

KKM juga telah meluluskan hampir 1.1 juta kapsul atau tablet ubat antiviral Oseltamivir bagi tempoh Disember 2019 hingga Januari 2020 untuk memenuhi permintaan fasiliti kesihatan swasta.

You may also like