Beberapa Sekolah Tutup Akibat Wabak Influenza A

Operasi penutupan sekolah hanya akan dibuat setelah mendapat nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

KUALA LUMPUR, 8 Jan — Sekolah-sekolah di Pulau Pinang, Selangor, dan beberapa buah negeri lain ditutup sehingga hari ini apabila beberapa murid disahkan positif influenza A, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata hari ini.

KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan pemantauan berterusan di sekolah-sekolah yang terlibat.

“KPM juga telah mengingatkan pihak sekolah supaya mematuhi sepenuhnya Standard Operating Procedure (SOP) Pengawalan Penularan Wabak Influenza A yang dikeluarkan oleh KPM.

“Operasi penutupan sekolah hanya akan dibuat setelah mendapat nasihat daripada pihak KKM,” KPM berkata dalam satu kenyataan hari ini.

KPM mengingatkan pihak sekolah untuk memantau murid atau warga sekolah yang dijangkiti wabak influenza A dan sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan, mangsa perlu diasingkan, berhubung dengan ibu bapa untuk dihantar pulang bagi mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada hari Sabtu lalu bahawa terdapat sedikit peningkatan kes influenza-like illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) semenjak pertengahan bulan lalu.

Namun begitu, peningkatan yang direkodkan masih berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya.

Pesakit influenza, terutamanya kanak-kanak di bawah lima tahun, dinasihatkan untuk mengelak ubat Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs (NSAIDS) untuk mengurangkan demam kerana terdapat bukti klinikal yang menunjukkan penggunaannya boleh meningkatkan risiko komplikasi jangkitan influenza, seperti radang otak di kalangan kanak-kanak.

You may also like