Kompaun RM250 Kalau Merokok Di Tempat Makan

KKM minta kerjasama daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

KUALA LUMPUR, 30 Dis — Orang yang merokok di tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250 untuk kesalahan pertama mulai 1 Januari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata hari ini.

Pengurangan ditawarkan kepada RM150 jika kompaun dibayar dalam tempoh satu bulan. Untuk kesalahan kedua, kompaun sebanyak RM250 dikenakan ke atas perokok, dengan tiada pengurangan kompaun ditawarkan.

Kesalahan ketiga dikenakan kompaun sebanyak RM350.

Bagi kesalahan yang dilakukan oleh pemilik premis yang tidak mempamerkan tanda larangan merokok, atau menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu merokok atau perkhidmatan menjual shisha, kompaun yang dikenakan ke atas kesalahan pertama, kedua, dan ketiga adalah pada kadar yang sama seperti perokok, tetapi tiada pengurangan kompaun ditawarkan.

“Sehubungan dengan itu, kerjasama dan sokongan daripada semua pihak terutama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan PPKHT 2004 sepenuhnya bermula pada 1 Januari 2020 berjalan lancar demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

“Bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang telah disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara atau di mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang telah diberikan akreditasi.”

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, yang juga Ahli Parlimen Ampang, berkata pihak berkuasa tempatan di seluruh negara akan menyediakan kawasan khas merokok secara berperingkat pada tahun depan.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya telahpun menyediakan kawasan khas merokok dengan jarak 3 meter dari tempat makan awam.

https://twitter.com/zuraida_my/status/1209302788141764608

You may also like