KKM Siasat Kematian Bayi Di Hospital Kuala Terengganu

Mohamed Riduan mendakwa bayinya meninggal akibat lewat dirawat selepas staf hospital sibuk meminta IC.

KUALA LUMPUR, 12 Dis — Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu sedang menjalankan siasatan lengkap atas kematian seorang bayi kelahiran pramatang di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Dr Nor Azmi Yunus, pengarah kesihatan negeri Terengganu, juga berkata dalam satu kenyataan bahawa dalam situasi kes kecemasan, perawatan akan diberikan sebagaimana standard yang digariskan tanpa perlu menunggu proses pendaftaran pesakit selesai.

“JKN Terengganu sekali lagi ingin mengucapkan takziah dan menzahirkan rasa simpati kepada kedua-dua ibu bapa terbabit dan berharap pihak keluarga diberikan ruang privasi oleh semua pihak pada masa yang sukar ini,” kata Dr Nor Azmi.

Mohamed Riduan Mohamed, 35, mendakwa di laman Facebook bahawa bayinya meninggal dunia pada 9 Disember lalu di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tersebut akibat lewat mendapat rawatan, dengan staf yang dikatakan mahu kad pengenalan isterinya, kad nikah, atau buku merah anak untuk mendaftarkan isterinya. Beliau tidak ada dokumen-dokumen tersebut pada ketika itu.

“Kemudian saya nyatakan yang saya cuma ada IC saya sahaja, tetapi kerani tersebut nyatakan bahawa tidak boleh diproses. Malah dia sempat berkata, ‘Mana lah tau kalau warga asing ke, belum berkahwin ke’.”

Apabila Mohamed Riduan berkata beliau berharap keadaan itu tidak terjadi kepada orang lain, kerani tersebut didakwa berkata: “Kalau macam tu, pergi jela hospital lain.”

Pasangan tersebut kononnya menunggu 30 minit pada 8 Disember lalu untuk mendapat rawatan susulan untuk isteri Mohamed Riduan apabila beliau tiba di kecemasan hospital bersalin dalam keadaan pecah air ketuban dan bayi telah keluar separuh badan, di mana bahagian pusat sehingga ke atas masih tersekat di pintu rahim(bayi songsang dengan keadaan kaki keluar dahulu).

Walaupun bayi lelaki mereka selamat dilahirkan pada hari itu, namun Mohamed Riduan berkata seorang doktor memaklumkan mereka pada 9 Disember bahawa anak mereka dalam keadaan kritikal di mana berlaku pendarahan di dalam kepala stage 4. Bayi itu seterusnya meninggal dunia hari itu. Pada hari sebelumnya, anak mereka telah berada pada stage 2.

“Yang menjadi persoalan saya, mengapa hal ini tidak dimaklumkan kepada saya, padahal seawal hari pertama perkara ini telah pun dikesan oleh doktor,” kata Mohamed Riduan dari Kampung Pulau Rusa.

“Saya amat berharap pihak tuan membuat siasatan dan mengambil tindakan yang amat tegas terhadap bahagian dan individu yang terbabit.”

Walau bagaimanapun, JKN Terengganu berkata penjelasan berkaitan keadaan bayi dan risiko komplikasi kelahiran pramatang telah dimaklumkan semasa perjumpaan bersama bapa selepas kelahiran, iaitu pada 8 Disember sekitar jam 10 pagi.

“Penjelasan lebih lanjut juga telah diberikan oleh Pakar Neonatologi kepada kedua-dua ibu bapa pada 9 Disember 2019 sekitar jam 1.00 tengahari iaitu selepas beberapa siri ujian dan pemeriksaan lanjut dibuat ke atas bayi kelahiran pramatang tersebut,” kata Dr Nor Azmi.

Mohamed Riduan, di laman Facebooknya, mengadu semalam tentang buli siber.

You may also like