Larangan Merokok Bukan Agenda Utama Dzulkefly

Menteri Kesihatan berkata program saringan kesihatan Peka B40 diakui sebagai “game changer”.

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad memberitahu konvensyen Amanah bahawa beliau mendapat keputusan paling corot daripada tiga kajian yang melihat menteri mana yang patut dibuang.

Dzulkefly merujuk kepada survei yang dijalankan oleh portal berita The Malaysian Insight dan portal Solidaritas. Survei The Malaysian Insight menunjukkan bahawa hanya 26.3 peratus responden berkata Dzulkefly patut dibuang dalam rombakan Kabinet, kedudukan terendah berbanding menteri-menteri lain. Survei Solidaritas pula menunjukkan 12.9 peratus responden mahu Dzulkefly digugurkan dari Kabinet, juga kedudukan terendah.

Walau bagimanapun, beliau tidak muncul dalam satu lagi survei Solidaritas tentang 10 menteri dengan undian tertinggi untuk digugurkan dari Kabinet.

“Tiga kajian — menteri mana yang patut dibuang — [menunjukkan] saya adalah menteri paling corot yang patut dibuang, atau dengan kata lain, menteri yang paling popular atas apa-apa sebab, sebab prestasi yang telah kita sama-sama dukungi,” Dzulkefly memberitahu Konvensyen Amanah Nasional 2019 di Shah Alam pada hari Sabtu lalu.

Beliau juga berkata dua cabaran besar yang dihadapinya sebagai Menteri Kesihatan ialah “fire fighting”, iaitu perkara segera yang perlu diatasinya, dan merangka dan melaksanakan dasar-dasar untuk meningkatkan penyampaian kesihatan di Malaysia.

Menurut Dzulkefly, cabarannya sebagai Menteri Kesihatan berdasarkan laporan ketua audit negara yang mendapati bahawa jabatan kecemasan dan trauma hospital kerajaan kekurangan pekerja, kekurangan dana, dan sesak dengan pesakit.

“Walaupun yang nampak ialah isu rokok dan larangan merokok, malangnya itu yang dimainkan dan digemburkan,” Dzulkefly memberitahu Konvensyen Amanah Nasional 2019 di Shah Alam pada hari Sabtu lalu.

“Tetapi sebenarnya, isu rokok dan larangan merokok ini bukan agenda utama saya sama sekali.”

Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan

Dzulkefly, pengarah strategi Amanah yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, berjaya mendapat tempat keenam dalam pemilihan pertama parti itu bagi menduduki Jawatankuasa Kepimpinan Amanah Nasional bagi sesi 2019 hingga 2022.

Ahli Jawatankuasa Kepimpinan Amanah Nasional itu berkata bahawa pencapaiannya sebagai Menteri Kesihatan dengan program saringan kesihatan Peka B40 untuk golongan B40 berumur 40 tahun dan ke atas telah diakui oleh Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin sendiri sebagai “game changer” untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Program Peka B40 adalah program yang kita rancang dan laksanakan, dan telahpun kita laksanakan untuk mulakan pendekatan kesihatan yang promotif, preventif, dan prediktif, bukan sahaja ‘sick care’, tetapi ‘health care’ yang diperlukan dalam suatu ‘delivery of the health system in this country’,” kata Dzulkefly.

“Ini yang menjadi ‘game changer’ yang Rembau akui tidak dilakukan sebelum ini.”

Menurut slaid beliau yang disiarkan di konvensyen, sehingga 6 Disember, seramai 194,563 orang, atau 24 peratus daripada sasaran, telah disaring di bawah Peka B40. Daripada itu, seramai 138,528 dan 56,035 orang telah disaring oleh pengamal am (GP) swasta dan Klinik Kesihatan awam masing-masing. Sasaran saringan Peka B40 ialah 800,000 orang sebelum tahun berakhir.

Sarawak ialah negeri dengan saringan yang paling tinggi iaitu 35,128 orang, diikuti dengan Kedah (27,353) dan Pulau Pinang (20,677).

Dzulkefly berkata program Peka B40 adalah penting kerana Malaysia menghadapi penyakit tidak berjangkit (NCD), seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, dan tahap kolesterol yang tinggi. Sebanyak 75 peratus daripada kematian pramatang disebabkan oleh faktor-faktor tersebut, iaitu meninggal dunia sebelum 75 tahun.

Walau bagaimanapun, Dzulkefly juga berkata surat khabar Oriental Daily telah menunjukkan bahawa polisi larangan merokok di tempat makan ialah polisi PH yang paling popular.

“Saya pun rasa agak teruja juga polisi ini yang paling popular.”

Dzulkefly berkata beliau sudah pun mencapai 21 inisiatif sepanjang 18 bulan yang lalu.

“Sebab itu, kalau ada yang bertanyakan dan mengukur kami dengan manifesto, kami lakukan jauh yang lebih besar dari apa yang dijanjikan dalam manifesto.”

Menurut slaid yang dipaparkan kepada delegasi konvensyen, 21 inisiatif itu merangkumi peningkatan peruntukan bajet kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Bajet 2019 dan Bajet 2020, program Peka B40, larangan merokok di tempat makan, sistem rekod perubatan elektronik (EMR), dan penubuhan rangka-kerja pengawal-seliaan kesihatan digital (online health services).

Inisiatif lain termasuk perkhidmatan klinik maya (virtual clinic services), penggunaan e-wallet di klinik KKM, kenaikan gred UD/UG/UF 41 pegawai perubatan kontrak ke gred UD/UG/UF 43, papan pemuka analitik (dashboard analytics), dan 15-minit X-break di semua kementerian untuk melaksanakan senaman ringan.

Inisiatif Dzulkefly juga termasuk pengurusan projek-projek sakit, penambahbaikan program pegawai perubatan siswazah (housemen), pengendalian kes salah laku seksual oleh Ketua Jabatan Ortopedik di Hospital Sungai Buloh, junior doctors’ quandary, dan penyusunan semula (revamping) perkhidmatan Klinik 1 Malaysia kepada Klinik Komuniti.

Dzulkefly juga telah berjaya mencapai pemusatan institut-institut latihan KKM, platform “ideas that matter” untuk memberi peluang kepada warga kerja KKM untuk memajukan idea dan pendapat mereka, penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan, penubuhan pasukan petugas (task force) untuk wajibkan vaksin, reformasi kesihatan mental, dan juga rancangan untuk mengawal harga ubat.

Health reform agenda saya yang saya bentangkan kepada Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir (Mohamad), Majlis Kesihatan saya, satu waktu dahulu, respons daripada Yang Amat Berhormat Tun Mahathir adalah…apa yang saya bentangkan bagi beliau ialah satu reform yang drastik.

‘It is a drastic reform’, kata beliau, ‘tapi kalau menteri tidak mengambil ini dan melaksanakan ini, there will never be reform of health in this country’.”

You may also like