Khalid Samad Nafi Konvoi Menteri Sekat Ambulan

Media sosial dakwa kononnya konvoi Menteri Wilayah Persekutuan menyekat sebuah ambulan dalam kesesakan jalan raya.

KUALA LUMPUR, 6 Dis — Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan nafi dakwaan bahawa kenderaan Khalid Samad menghalang perjalanan sebuah ambulan di tengah kesesakan jalan raya di Jalan Istana di sini.

Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa sebuah ambulan telah tersangkut di jalan itu pada jam 9.15 pagi 4 Disember lalu.

“Outrider DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) yang mengiringi kenderaan menteri telah memintas ambulan itu untuk membuka jalan bagi membolehkan ambulan dan kenderaan rombongan menteri melepasi kesesakan itu.

“Hasilnya, kereta menteri dan juga ambulan berjaya melepasi kesesakan itu dan berjalan dengan lancar selepas laluan dibuka oleh anggota trafik DBKL itu,” kata Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan hari ini.

“Ia menunjukkan outrider DBKL memintas ambulan bersama rombongan dan seterusnya membawa ambulan bersama dengan rombongan itu.”

You may also like