Ubat Metformin Ditarik Balik Daripada Singapura Tidak Berdaftar Di Malaysia

Ubat diabetes yang terlibat ialah Glucient XR Tablet 500mg, Meijumet Prolonged Release Tablet 750mg, dan Meijumet Prolonged Release Tablet 1,000mg.

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Tiga produk metformin yang dipanggil balik daripada Singapura berikutan pengesanan bahan NDMA yang melebihi tahap selamat tidak berdaftar di Malaysia, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tiga ubat diabetes tersebut yang dipanggil balik daripada pasaran Singapura ialah Glucient XR Tablet 500mg (satu kelompok), Meijumet Prolonged Release Tablet 750mg (semua kelompok), dan Meijumet Prolonged Release Tablet 1,000mg (semua kelompok).

“Semakan ke atas pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM mendapati bahawa terdapat sejumlah 101 produk metformin yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Hanya produk-produk yang berdaftar dengan PBKD sahaja yang dibenarkan untuk dibekalkan kepada pesakit di Malaysia,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

“NDMA merupakan salah satu impuriti daripada kumpulan nitrosamine yang biasa ditemui pada paras yang rendah, antaranya dalam makanan dan minuman tertentu, pencemar udara (air pollutant) dan hasil daripada proses pengilangan tertentu. Berdasarkan International Agency for Research on Cancer (IARC), NDMA boleh meningkatkan risiko terjadinya kanser kepada pengguna dalam jangka masa panjang.

“Metformin adalah ubat yang digunakan untuk merawat penyakit kencing manis bagi mengawal paras gula dalam darah dan boleh diperolehi daripada doktor dan ahli farmasi yang berdaftar.”

Menurut Health Sciences Authority di Singapura, risiko kepada pesakit yang telah mengambil tiga ubat metformin yang terlibat adalah sangat rendah kerana risiko berpotensi nitrosamine dikaitkan dengan penggunaan jangka masa panjang. Tiga ubat yang terlibat hanya dibekalkan di Singapura untuk jangka masa yang pendek sejak tahun lepas.

You may also like