Akibat Cukai, 83 Jenis Minuman Manis Direformulasi

KKM akan menjalankan kajian keberkesanan cukai gula selepas dua tahun.

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Sebanyak 17 syarikat pengeluar minuman telah membuat reformulasi yang melibatkan 83 jenis produk minuman manis selepas cukai eksais dikenakan, menurut Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata sedemikian semasa menjawab soalan sesi parlimen dari Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar mengenai pelan holistik Kementerian untuk mengurangkan jumlah penghidap obesiti; dan keberkesanan pengenalan cukai gula terhadap golongan sasaran sejak 1 Julai 2019 dalam mengubah tabiat pemakanan serta penyerapan hasil cukai ke dalam pembiayaan program makanan percuma di sekolah.

“Kesan pelaksanaan pengenaan cukai eksais ke atas minuman manis bergula tidak dapat dilihat pada masa ini memandangkan ianya baru sahaja dilaksanakan selama dua (2) bulan,” kata Dzulkefly.

“Walau bagaimanapun, kesan terhadap reformulasi kandungan gula dalam produk minuman oleh syarikat-syarikat pengeluar minuman dapat dilihat.”

Beliau juga berkata bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk menjalankan kajian keberkesanan pelaksanaan cukai eksais ini selepas dua tahun pelaksanaannya dengan kerjasama World Health Organization (WHO) Malaysia.

“Berdasarkan makluman daripada pihak Kementerian Kewangan Malaysia, selaras dengan Perkara 97, Perlembagaan Persekutuan, jumlah kutipan hasil daripada duti eksais minuman bergula akan disatukan dalam Kumpulan Wang Disatukan.

“Peruntukan kepada Kementerian seterusnya akan ditentukan semasa proses penyediaan Belanjawan tahunan berdasarkan kepada keutamaan dan keperluan,” tambah beliau.

You may also like