KKM Hampiri 13 Peratus Penerima Manfaat Peka B40 Di Sabah

Daripada anggaran 59,613 orang, 7,550 telah menjalani saringan kesihatan.

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Kerajaan telah mencapai hampir 13 peratus daripada target penerima manfaat Program Peka B40, kata Dzulkefly Ahmad.

Daripada anggaran 59,613 orang rakyat negeri Sabah yang layak menerima manfaat program Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tersebut, 7,550 orang penerima manfaat telah menjalani saringan kesihatan di bawah Peka B40; iaitu 12.66 peratus daripada anggaran tersebut telah dicapai sehingga 24 September.

“Untuk makluman, di negeri Sabah jumlah keseluruhan penerima BSH yang berumur 50 tahun dan ke atas adalah seramai 293,763 orang,” kata Dzulkefly dalam sidang parlimen semalam.

“Bagi projek perintis ini, dengan peruntukan RM100 juta untuk seluruh Negara, maka adalah dianggarkan seramai 59,613 orang rakyat negeri Sabah berpeluang menjadi penerima manfaat Peka B40 berdasarkan konsep ‘first come, first serve’.

“Sehingga 24 September 2019, seramai 7,550 orang penerima manfaat di Sabah telah menjalani saringan kesihatan di bawah PeKa B40. Ini menjadikan Sabah negeri kelima tertinggi mengecapi saringan kesihatan selepas Sarawak, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.”

Sejak dilaksanakan 15 April lalu, lebih 150,000 orang di seluruh negara direkodkan menjalani saringan kesihatan melalui Peka B40 yang diperkenalkan oleh KKM untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Menerusi jumlah itu, 60 peratus daripada mereka didapati mempunyai pelbagai penyakit memerlukan alat bantuan dan rawatan perubatan susulan, kata Ab Latiff Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), sebuah syarikat dimiliki penuh KKM, awal bulan ini.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang giat mempertingkatkan aktiviti promosi dan publisiti Peka B40 sama ada melalui media cetak, elektronik,media sosial dan komunikasi bersemuka,” tambah Dzulkefly semalam.

“KKM juga telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan saringan kesihatan secara ‘outreach’. Aktiviti ini melibatkan kerjasama antara agensi-agensi Kerajaan yang berkait rapat dengan kumpulan B40 seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.”

You may also like