KKM Menyita Lebih 2,000 Produk Makanan Yang Gunakan Akuan Kesihatan

Produk yang disita bernilai lebih RM60,000.

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan operasi mengambil tindakan atas pengeluar dan produk makanan yang menggunakan akuan kesihatan pada label dan pengiklanan produk makanan.

“Hasil Operasi Khas yang dijalankan, sebanyak 506 premis makanan telah diperiksa dan sebanyak 2,135 produk makanan bernilai RM60,494.53 telah disita,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam sebuah kenyataan.

“Sementara itu, sejumlah 47 notis dengan keseluruhan nilai RM113,500.00 telah dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.”

Di bawah Peraturan 18(6), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa label makanan tidak boleh mengandungi akuan kesihatan seperti mencegah, mengurang, merawat dan menyembuhkan sesuatu penyakit.

Kegagalan mematuhi mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun.

“Penyataan seperti boleh merawat penyakit, jus kesihatan terbaik, boleh menyembuhkan sakit buah pinggang, kencing manis, menghilangkan nyanyuk dan sebagainya adalah dilarang pada iklan atau label makanan.

“KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualti Makanan akan sentiasa menjalankan pemantauan seumpama ini di seluruh negara bagi memastikan kepatuhan terhadap pelabelan dan iklan mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” kata Dr Noor Hisham.

Orang awam dinasihatkan menghubungi Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) jika membupyai sebarang soalan atau kemusykilan mengenai isu tersebut.

You may also like