Kajian: Penggunaan Nyamuk Aedes Berwolbachia Berkesan, Mesra Alam Sekat Denggi

Bakteria Wolbachia mampu menghalang nyamuk Aedes aegypti daripada menyebarkan virus denggi kepada manusia.

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Teknik menggunakan bakteria Wolbachia terhadap nyamuk aedes telah berjaya mengurangkan hampir 40 peratus kes demam denggi, para penyelidik berkata.

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bersama-sama dengan penyelidik di Universiti Glasgow (UK) dan Universiti Melbourne (Australia) telah membuat kajian, yang diterbitkan di dalam jurnal Current Biology pada 21 November lalu, dengan melepaskan Aedes aegypti berWolbachia di lokaliti hotspot denggi di negeri Selangor. Wolbachia mampu menghalang nyamuk Aedes aegypti daripada menyebarkan virus denggi kepada manusia.

“Wolbachia merupakan symbion bakteria yang wujud secara meluas dalam serangga. Penggunaan Aedes aegypti berWolbachia adalah kaedah mampan dan inovatif untuk mengawal penyakit bawaan nyamuk Aedes,” kata Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, dalam sebuah kenyataan.

“Sebelum ini, para saintis di luar negara telah menjalankan pelepasan nyamuk berWolbachia dengan menggunakan strain yang berbeza. Namun keberkesanan strain tersebut adalah tidak setara strain wAlbB, di mana strain wAlbB adalah lebih sesuai digunakan di negara tropika yang bersuhu panas seperti Malaysia.”

Hasil penyelidikan tersebut membuktikan bahawa nyamuk berWolbachia (strain wAlbB), apabila dilepaskan ke alam sekitar berkesan mengurangkan hampir 40 per atus kes demam denggi.

Wolbachia (strain wAlbB) juga berkesan dalam menyekat penularan virus Zika dan chikungunya yang disebarkan melalui nyamuk.

“Kejayaan menurunkan kes demam denggi di lokaliti-lokaliti pelepasan nyamuk berWolbachia telah menyebabkan tiada lagi penggunaan racun serangga sekaligus memberi manfaat pada alam sekitar dan ekonomi negara.”

Berikutan kajian tersebut, Bahagian Kawalan Penyakit KKM bersama-sama dengan IMR, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Bahagian Pendidikan Kesihatan, Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Kerajaan Negeri dan komuniti telah menjalankan operasi pelepasan Aedes berWolbachia ke kawasan hotspot denggi lain di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Di Malaysia, lebih 100,000 kes demam denggi dilaporkan pada 2016 dengan kos tahunan dianggarkan sebanyak US175 juta.

Bagi tahun 2019, jumlah kes denggi dari Januari hingga 16 November 2019 berjumlah 114,745 kes. Angka ini adalah peningkatan sebanyak 48,175 kes (72.4 peratus) berbanding 66,570 kes pada jangkamasa yang sama pada tahun 2018.

You may also like