Bantah Perkahwinan Kanak-Kanak, Bapa Seru

Aizad meminta orang ramai menghantar emel kepada jabatan agama Islam negeri-negeri itu membantah keputusan tidak bersetuju meminda had umur kahwin.

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Seorang bapa telah menggesa orang ramai supaya menyarankan Ahli Parlimen mereka dan jabatan agama Islam di tujuh negeri untuk menaikkan had umur pernikahan kepada 18 tahun dari 16 tahun untuk perempuan.

Menurut Malaysiakini, Mohd Aizad Fahmy telah memuatnaik dalam akaun Twitter beliau untuk menyeru warganet dari tujuh negeri yang tidak bersetuju untuk meminda perundangan tersebut menghantar emel kepada wakil rakyat atau jabatan agama Islam negeri Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.

“Sekarang ni, apa yang kita mampu buat adalah protes dan kerajaan negeri harus prihatin dengan suara-suara kita sebab yang mengundi (memilih) benda ni bukan kita. Kita tak ada kuasa untuk tentukan sama ada perkahwinan bawah umur ini boleh atau tidak,” kata Aizad.

“Jadi bagi kami ini tidak adil sebab keputusan ini akan jejaskan kita semua, bukan jejaskan kerajaan saja. Jadi kerajaan harus kena tahu, peka, dan prihatin dengan kami sebagai rakyat dalam hal ini. Jadi, kempen ini bertujuan untuk kita pressure (beri tekanan).

“Hantar emel kepada Jabatan Agama Islam di kawasan anda. Katakan tidak kepada perkahwinan kanak-kanak!”

https://twitter.com/aizadfahmy/status/1196695402168242176?ref_src=twsrc%5Etfw%7Ctwcamp%5Etweetembed%7Ctwterm%5E1196695402168242176&ref_url=https%3A%2F%2Fwww.malaysiakini.com%2Fnews%2F500622

Setakat jam 12 tengah hari, hantaran Aizad mendapat 392 tanda suka dan 260 retweet sejak dimuatnaik pada 18 NOvember.

Aizad berkata bahawa sebagai seorang bapa, beliau sangat prihatin terhadap isu tersebut.

“Jadi bagi saya kempen anti kahwin bawah umur ini penting sebab perkahwinan itu sendiri satu benda yang memerlukan kematangan fikiran dan perlukan banyak aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum berkahwin,” kata Aizad.

Menurutnya, berkahwin dalam usia muda adalah tidak baik kerana seseorang tidak bersedia dari segi mental untuk menghapadi masalah dalam perkahwinan.

Selain itu, Aizad tambah bahawa kadar peningkatan perceraian di kalangan pasangan muda semakin meningkat.

Mengikut statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), terdapat 2,932 kes perceraian di seluruh Wilayah Persekutuan saja antara 2013 dan 2017, manakala data di negeri lain sedang dikumpul ketika itu.

Terdahulu, draf pindaan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menetapkan had umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.

Untuk rekod, sehingga kini hanya negeri Selangor yang telah meminda enakmen berkenaan sementara Wilayah Persekutuan dalam proses pindaan.

Lima negeri lain yang telah bersetuju untuk meminda had umur perkahwinan adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak.

Pada 19 November, Dewan Rakyat memaklumkan bahawa KPWKM sekarang dalam peringkat akhir menyiapkan draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata draf itu akan membabitkan pindaan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 [Akta 303] dengan menetapkan umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.

You may also like