KKM: Perokok Di Restoran Akan Dihukum Mulai 1 Januari

Selain itu, KKM juga telah berbincang dengan KPM pengenai penjualan vape.

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok yang ingkar larangan merokok di semua premis makanan akan bermula 1 Januari 2020.

Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, kompoun sebanyak RM 250 boleh dikenakan. Jika gagal membayar kompoun, mereka akan didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara.

Menteri Kesihatan Dzukefly Ahmad telah berkata sedemikian dalam sidang parlimen, semasa menjawab soalan mengenai tindakan kerajaan bagi mengawal penjualan vape atau rokok elektronik, dan juga status kempen larangan merokok di premis makanan.

“Mengenai penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan, KKM sedang giat menjalankan penguatkuasaan pendidikan dan sehingga kini, sebanyak 146,607 premis makanan telah diperiksa dan 31,422 notis amaran telah dikeluarkan,” kata Dzulkefly, merujuk kepada penguatkuasaan daripada 1 Januari hingga 3 November lalu.

“Dari jumlah tersebut, sebanyak 27,759 buah premis telah diberikan amaran kerana gagal meletakkan tanda larangan merokok serta 3,889 notis dikeluarkan bagi orang yang didapati merokok di kawasan kedai makan. Sejumlah 23,805 aduan pula telah diterima semenjak Januari 2019 sehingga 3 November 2019.”

Mengenai pengawalan penjualan vape, KKM telah berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membincangkan strategi dan langkah-langkah untuk memastikan masalah penggunaan rokok elektronik atau vape di kalangan pelajar sekolah dapat dibendung.

“Di antara langkah yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ialah aktiviti penguatkuasaan terhadap penjualan rokok elektronik yang mengandungi cecair nikotin dan penggunaan rokok elektronik di kalangan mereka yang berumur 18 tahun dan ke bawah.”

“Di bawah peruntukan Akta Racun 1952, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM telah menjalankan tindakan penguatkuasaan di seluruh Malaysia pada 20 Ogos dan 31 Oktober 2019. Penguatkuasaan ini adalah menumpukan kedai-kedai penjualan rokok elektronik atau vape berhampiran sekolah serta yang menjadi akses kepada pelajar seperti di kedai-kedai runcit, kedai gajet dan kedaiperalatan rokok elektronik,” tambah Dzulkefly.

You may also like