Exco Selangor: Minum Arak Dilarang Di Taman Awam

Ng berkata jawapannya di Dewan Negeri Selangor telah disalahtafsir.

KUALA LUMPUR, 12 November – Ahli Exco Negeri Selangor Ng Sze Han telah menjelaskan bahawa terdapat larangan meminum minuman keras di taman awam.

Pengerusi jawatankuasa kerajaan tempatan, pengangkutan awam dan pembangunan kampung baru itu, dalam sebuah muatan naik Facebook, merujuk pada sesi soal jawab Dewan Negeri Selangor semalam bertajuk “Kacau Ganggu Di Kawasan Awam” dan laporan media oleh Berita Harian Online semalam bertajuk “Tiada larangan minum arak di tempat awam – Exco”.

“Ingin saya jelaskan bahawa, pada masa ini Undang-Undang Kecil Taman (2005) yang digunapakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor tidak menetapkan larangan untuk meminum arak di taman awam,” kata Ng.

“Jawapan yang telah dikemukakan di dalam sesi Dewan Negeri Selangor tersebut adalah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Walaubagaimanapun, jawapan ini telah disalahtafsir oleh pihak Berita Harian dengan melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak melarang orang awam untuk meminum arak di taman awam,” tambah Ng.

Seperti yang dijawab dalam sesi Dewan Negeri Selangor, walaupun tiada larangan yang ditetapkan dalam Undang-Undang Kecil Taman 2005, Ng berkata bahawa pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah dengan memasang papan tanda peringatan bagi melarang meminum minuman keras di kawasan awam bagi menjaga keselesaan dan ketenteraman orang awam yang mengunjungi taman tersebut.

You may also like