KKM Tingkatkan Inisiatif Kesihatan Untuk M40

Bantuan subsidi rawatan hemodialisis telah dinaikkan ke kadar RM100 dari RM50 mulai 2018.

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Kerajaan sentiasa fokus untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti untuk golongan berpendapatan M40 (middle 40 per cent), Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata hari ini.

“Perkhidmatan kesihatan bagi seluruh rakyat Malaysia termasuk golongan M40 di fasiliti KKM adalah bersubsidi dengan kadar bayaran minima atau percuma. Caj yang dikenakan adalah RM1 bagi pesakit luar dan RM5 bagi klinik pakar,” kata Dzulkefly dalam sidang parlimen.

“KKM juga mempunyai mekanisme dalam membantu pesakit-pesakit yang tidak mampu dan kurang berkemampuan melalui Tabung Bantuan Perubatan (TBP).”

KKM juga telah menyediakan subsidi bagi pesakit kurang berkemampuan untuk mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dengan menanggung sepenuhnya atau sebahagian dari kos perubatan dan rawatan, tertakluk pesakit memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam peraturan yang berkuatkuasa.

“Secara puratanya, setiap tahun KKM membelanjakan sebanyak RM450 juta bagi pesakit kurang berkemampuan mendapat rawatan di IJN,” tambah Dzulkefly.

Selain itu, sejak tahun 2001, kerajaan telah menyediakan subsidi kepada pesakit buah pinggang yang kurang berkemampuan menjalani rawatan hemodialisis di pusat-pusat hemodialisis Badan Bukan Kerajaan yang berdaftar dengan KKM.

“Mulai tahun 2018, bantuan subsidi rawatan hemodialisis telah dinaikkan ke kadar RM100 dari RM50 bagi setiap rawatan dan pesakit hanya perlu membayar RM10 sahaja bagi setiap sesi rawatan daripada keseluruhan kos RM110, termasuklah kos suntikan erythropoietin (EPO) sebanyak RM18.50 ketika membuat rawatan di pusat hemodialisis NGO yang berdaftar dengan KKM,” kata Dzulkefly.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta setahun bagi tujuan ini.”

You may also like