Seorang Kanak-Kanak Maut Di Sarawak Akibat Rabies

Jumlah kematian mencecah 21 kes sejak 2017.

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun telah meninggal dunia akibat rabies di Sarawak hari Sabtu yang lalu semasa dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Sampel untuk ujian rabies yang telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah disahkan positif rabies pada 6 November.

“Kanak-kanak tersebut kelihatan tidak aktif sejak 13 Oktober dan mengadu sakit tekak. Pada 15 Oktober 2019, beliau mengalami demam dan berkelakuan luar daripada kebiasaan, lalu dibawa ke klinik swasta untuk pemeriksaan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam sebuah kenyataan.

“Keadaan beliau bertambah teruk dan dibawa pula ke Klinik Kesihatan pada 18 Oktober 2019 dan dirawat sebagai pesakit luar dengan diagnosa Upper Respiratory Tract Infection (URTI). Pada 21 Oktober 2019, beliau telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak apabila keadaannya semakin lemah.”

Keluarga kanak-kanak tersebut mempunyai dua ekor anjing peliharaan di rumah. Kedua-dua haiwan ini tidak pernah mendapat vaksinasi anti-rabies dan bebas bergaul dengan anjing liar. Namun begitu, mangsa tidak pernah mengadu bahawa beliau pernah digigit anjing atau haiwan lain.

“Dengan pengesahan kes ini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak rabies pada 1 Julai 2017 sehingga 6 November 2019 adalah 22 kes termasuk 21 kematian. Enam (6) daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2019,” tambah Dr Noor Hisham.

KKM meminta supaya ibu bapa sentiasa berjaga-jaga dan segera mengambil tindakan jika anak-anak atau dicakar atau luka dijilat oleh anjing, samada anjing liar atau anjing milik sendiri.

“Ini terutama kerana Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak pernah melaporkan bahawa bagi setiap lima (5) ekor anjing di Sarawak, dua (2) daripadanya adalah positif virus rabies,” kata Dr Noor Hisham.

You may also like