KKM Beri RM40 Vaksin Kepada Kanak-Kanak Tanpa Dokumen

Orang bukan warganegara dikenakan bayaran RM40 untuk fi pendaftaran dan RM40 untuk setiap suntikan imunisasi.

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengumumkan beberapa langkah untuk memastikan kanak-kanak tanpa dokumen menerima vaksin bagi penyakit berjangkit dengan kadar segera.

“KKM sememangnya memberi perkhidmatan imunisasi kepada semua kanak-kanak yang datang ke fasiliti kesihatan Kerajaan,” kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dalam sidang parlimen hari ini.

“Namun, bagi mereka yang berada jauh dari fasiliti kesihatan seperti di kawasan pedalaman dan kawasan penempatan Orang Asli, KKM juga menyediakan perkhidmatan imunisasi melalui pasukan klinik bergerak. Perkhidmatan imunisasi turut diberikan kepada kanak-kanak di depoh tahanan imigresen.”

Namun begitu, bagi yang bertaraf bukan warganegara atau tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, bayaran dikenakan, iaitu RM40 untuk fi pendaftaran (termasuk perundingan dan ubat) dan RM40 untuk setiap suntikan imunisasi, di bawah kuasa Seksyen 3 Akta Fi 1951, Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) pindaan 2014.

Kerajaan juga telah bekerjasama dengan kerajaan Filipina dan badan bukan kerajaan Mercy Malaysia bagi vaksin untuk kanak-kanak warga Filipina di Sabah.

“Bagi negeri Sabah, KKM sedang bekerjasama dengan kerajaan Filipina untuk memberikan imunisasi kepada kanak-kanak warga Filipina yang berada di Alternative Learning Center di mana kos vaksin dan operasi akan ditanggung oleh Kerajaan Filipina. Satu Memorandum Of Understanding (MOU) telah ditandatangani di antara Menteri Kesihatan Malaysia dan Menteri Kesihatan Filipina pada 30 Julai 2019.

“KKM juga sedang berunding untuk membuat perolehan vaksin dari pihak United Nations Childrens Fund (UNICEF) bagi program pemberian imunisasi kepada kanak-kanak tiada dokumen dan stateless di Sabah,” Dzulkefly berkata.

Selain itu, untuk kawasan-kawasan berisiko tinggi penularan wabak atau sedang dilanda wabak, KKM meminta pengecualian fi untuk menjalankan aktiviti imunisasi tambahan (SIA) dengan memberi imunisasi kepada kanak-kanak warga asing termasuk mereka yang tiada dokumen pengenalan diri.

“KKM telah menerima kelulusan pengecualian Fi bagi tiga (3) buah daerah di Sabah iaitu Daerah Kota Kinabalu, Daerah Tawau dan Daerah Semporna untuk menjalankan aktiviti SIA secara berperingkat susulan dari penularan kes demam campak (Measles) di beberapa kawasan di daerah tersebut,” kata Dzulkefly.

Menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Papar Ahmad Hassan, Dzulkefly tambah bahawa tidak akan berlaku penindihan vaksin kepada kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara kerana KKM akan memantau kanak-kanak yang menerima vaksin tersebut melalui database yang sedia ada.

You may also like