Vaksin Pneumokokal Akan Dilaksanakan Jun 2020

Bayi lahir pada dan selepas Januari 1 layak menerima vaksin ini.

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Kerajaan akan membuka proses perolehan vaksin pneumokokal melalui tender terbuka bermula pada tahun depan.

Pelaksanaan vaksin pneumokokal untuk kanak-kanak, yang akan menerima vaksin tersebut pada umur empat, lapan, dan 15 bulan, dijangka bermula pada Jun 2020.

“Rundingan harga telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kesihatan dan buat masa ini, terdapat dua produk vaksin pneumokokal konjugat yang berdaftar di Malaysia,” kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dalam sidang parlimen.

“Perolehan vaksin secara tender pusat dengan jumlah perolehan dos yang tinggi akan membolehkan harga vaksin yang diperoleh oleh Kementerian Kesihatan kelak lebih rendah dari harga pasaran di fasiliti kesihatan swasta.”

Beliau juga berkata bahawa dianggarkan lebih kurang 500,000 kanak-kanak akan menerima manfaat daripada pemberian vaksin ini.

Bayi yang dilahirkan pada dan selepas Januari 1, 2020 akan layak menerima imunisasi ini, dengan sejumlah tiga dos diberikan kepada setiap kanak-kanak.

Kerajaan telah memperuntukkan RM60 juta untuk pemberian vaksin pneumokokal kojugat di dalam Belanjawan 2020, dan vaksin tersebut akan dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Nasional.

You may also like