KKM Membenarkan Bersunat Di Klinik Swasta Oleh Doktor Berdaftar

Menteri berkata terdapat kes kecuaian di klinik swasta yang telah disiasat.

KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Prosedur bersunat boleh dilakukan di klinik swasta oleh pengamal perubatan berdaftar bagi kes-kes normal, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata.

Dzulkefly menjawab soalan di Parlimen oleh Ahli Parlimen Kuala Kedah Dr Azman Ismail yang bertanya rasional larangan bagi pengamal perubatan umum swasta melakukan bersunat (circumcision) di klinik swasta.

“Namun begitu, terdapat beberapa kes kecuaian perubatan ketika prosedur berkhatan dijalankan di klinik perubatan swasta yang telah diterima dan disiasat oleh Kementerian,” kata Dzulkefly dalam jawapan parlimen semalam.

“Siasatan kementerian mendapati kejadian tersebut berpunca daripada keadaan perubatan yang memerlukan prosedur berkhatan yang complicated, pesakit mempunyai pelbagai co-morbidities, kompetensi pengamal perubatan sendiri serta keadaan klinik perubatan swasta yang tidak kondusif bagi menangani situasi kecemasan sekiranya berlaku kejadian yang tidak dijangka.”

Dalam hal ini, KKM telah menerima cadangan supaya pengamal perubatan yang ingin melaksanakan prosedur berkhatan ini perlu mengikuti latihan “credentialing and privileging” terlebih dahulu bagi memastikan kompetensi pengamal perubatan berkenaan demi keselamatan pesakit.

“Walaupun begitu, Kementerian menyedari bahawa amalan berkhatan ini bukanlah suatu prosedur perubatan semata-mata, tetapi berkait rapat dengan aspek budaya dan agama di Malaysia,” tambah beliau.

“Oleh itu, pada masa ini, Kementerian mengambil langkah bagi meningkatkan tahap kesedaran dan awareness rakyat supaya dapat mengambil keputusan yang baik ketika memilih kemudahan/ personnel bagi menjalankan prosedur berkhatan.”

You may also like