Taiping Dipilih Projek Rintis Bandar Mesra Usia

Perak dijangka menjadi negeri tertua di Malaysia tahun depan, dengan jumlah warga emas mencapai 15% daripada jumlah penduduk.

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Bandar Taiping, Perak, telah dipilih sebagai bandar pertama untuk melaksanakan projek rintis mewujudkan bandar mesra usia.

Taiping diberikan peruntukan dana sebanyak RM1.1 juta bagi pembangunan fasa pertama dari Tabung Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

“Buat masa ini, kita menerima suntikan dana daripada UNDP untuk memulakan kajian menyeluruh terhadap status semasa Taiping sebagai bandar mesra usia,” kata Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri dan menteri bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Hasil daripada kajian ini akan digunakan untuk mendapatkan syor, tindakan syor dan membangunkan pelan yang disesuaikan mengikut keperluan tempatan.”

Menurut BH Online, Dr Azizah juga berkata bahawa Taiping dipilih kerana Perak dijangka menjadi negeri ‘tertua’ di Malaysia pada tahun 2020 apabila jumlah warga emas mencapai 385,000 orang atau 14.9 peratus daripada jumlah penduduk yang diunjurkan 2.6 juta.

Bandar mesra usia adalah satu instrumen untuk menggabungkan peranan setiap individu dalam komuniti dan masyarakat setempat agar persekitaran yang didiami adalah bebas halangan dan selamat.

Dr Azizah turut berkata bahawa kajian terhadap bandar mesra usia sudah bermula bulan lalu dengan kerjasama KPWKM dan UNDP di mana MyAgeing Universiti Putra Malaysia telah dilantik sebagai perunding utama kajian tersebut.

Selain dari pada projek di Taiping, KPWKM merancang dan melaksanakan pelbagai program dalam usaha memastikan kesejahteraan warga emas, keluarga serta komuniti terpelihara, terutama dalam persediaan menuju negara tua pada 2030.

“KPWKM turut mengadakan kolaborasi strategik melalui platform Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara yang turut dianggotai oleh agensi kerajaan lain, wakil kerajaan negeri, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik untuk membincangkan perkara berkaitan pemerkasaan warga emas,” katanya.

You may also like