Dzulkefly: Perokok Bukan Musuh KKM

Penguatkuasaan penuh larangan merokok di restoran bermula pada 1 Januari 2020.

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya larangan merokok di tempat makan awam mulai tahun depan.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menyokong keputusan Mahkamah Tinggi yang telah menolak permohonan semakan kehakiman ke atas pewartaan semua tempat makan awam terbuka sebagai kawasan larangan merokok oleh KKM.

‘Keputusan ini secara tidak langsung mewajarkan tindakan KKM yang telah memastikan setiap tindakan dilakukan secara teliti dan berlandaskan kepada peruntukkan dan ketetapan undang-undang sedia ada,” kata Dzulkefly dalam sebuah kenyataan.

“Keputusan ini juga memberikan suntikan semangat kepada warga KKM khususnya warga Program Kesihatan Awam, untuk terus perjuang dan pertahankan polisi ini.”

Larangan yang telah lama berkuatkuasa di 22 tempat awam lain sejak tahun 2005, hanya sekadar diperluaskan tahun ini untuk meliputi tempat makan awam terbuka.

“Ingin saya tekankan di sini bahawa tidak pernah saya mahupun KKM secara amnya menganggap golongan perokok sebagai musuh kami. Malah, kami sangat mengambil berat terhadap kesihatan rakyat dan komited untuk mempertahankan persekitaran yang sihat agar kesihatan setiap lapisan rakyat terbela,” beliau berkata.

“KKM juga tidak mendiskriminasi perkhidmatan kesihatan yang diberikan terhadap pesakit dari golongan perokok atau bukan perokok.”

Pelaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya larangan merokok di tempat makan awam terbuka akan bermula mulai 1 Januari 2020.

Tempoh bagi aktiviti penguatkuasaan pendidikan akan berakhir pada 31 Disember 2019. Semalam, sebuah kumpulan perokok kalah semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar larangan merokok di restoran.

Hakim Mariana Yahya berkata bahawa kumpulan itu salah menganggap bahawa larangan itu telah melanggar hak mereka.

“Mereka mendakwa bahawa larangan tersebut adalah terhadap hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun, mereka masih boleh merokok di luar, tiga meter atau 10 kaki di luar premis itu. Tidak ada undang-undang yang melarang kumpulan pemohon daripada merokok secara total,” kata Mariana.

You may also like