WHO Memuji Pengukuhan Keselamatan Kesihatan Malaysia

Malaysia digesa untuk terus mengimplementasi aktiviti tersebut.

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memuji usaha kerajaan Malaysia yang melaksanakan aktiviti pengukuhan keselamatan kesihatan menerusi sistem yang mantap selaras keperluan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) 2005.

Pelaksanaan itu hasil Penilaian Luaran Bersama (JEE) bersama pasukan pakar antarabangsa pelbagai bidang dipilih WHO.

“Semasa sesi kesimpulan JEE, pakar WHO memuji usaha Malaysia yang berjaya melaksanakan aktiviti pengukuhan keselamatan kesihatan menerusi sistem kesihatan yang mantap dengan kesediaan serta tindak balas kecemasan kesihatan di pelbagai sektor yang terbabit,” kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, menurut Bernama.

“Malaysia digesa untuk terus mengukuhkan keupayaan teras itu bagi mencegah, mengesan dan bertindak pantas serta berkesan kepada pelbagai jenis ancaman kesihatan awam berpandukan keutamaan disyorkan,” katanya.

Proses JEE membabitkan penilaian keupayaan negara dalam melaksana kapasiti teras IHR yang terdiri 19 bidang teknikal dan 49 petunjuk.

Proses itu meliputi bidang teknikal seperti mencegah dan mengurangkan kemungkinan wabak dan kecemasan kesihatan awam; mengesan ancaman awal; tindakan pantas dan berkesan melalui pelbagai sektor dan meningkatkan kapasiti IHR di pintu masuk negara dan semasa kejadian kecemasan kimia dan radiasi.

“Selama lebih dari setahun, Kementerian Kesihatan bersama dengan agensi berkaitan sudah mengumpul dan menilai maklumat serta dokumen sokongan yang diperlukan, bagi melaksanakan penilaian dalaman terhadap kapasiti teras IHR sebagai persediaan untuk JEE,” ujar Dzulkefly.

“Saya fikir bahawa komuniti antarabangsa secara keseluruhannya boleh belajar dari sistem pengukuhan keselamatan kesihatan yang terpuji Malaysia,” kata wakil WHO di Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Ying-Ru Lo.

You may also like