KDN: ‘Harm Reduction’ Mengurangkan HIV, Kemasukan Ke Penjara, Pusat Pemulihan

KDN dan Jabatan Penjara Malaysia juga sedang dalam proses penyediaan kerangka reformasi sistem penjara.

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Sejumlah 19,050 orang sedang menerima rawatan melalui program “harm reduction” untuk penyalahgunaan dadah di fasiliti kerajaan di seluruh Malaysia dari bulan Januari hingga Mac tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata dalam jawapan parlimen kepada Permatang Pauh MP Nurul Izzah Anwar bahawa sebanyak 782 fasiliti kerajaan dan swasta menjalankan program “harm reduction” sehingga bulan Mac lalu, seperti institusi penjara, fasiliti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), hospital dan klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Berdasarkan data survelan, kes jangkitan baru HIV/AIDS akibat penagihan dadah suntikan yang dilaporkan ke KKM setiap tahun telah menurun dari 79.6 peratus pada tahun 2001 kepada 2.8 peratus pada tahun 2018,” Muhyiddin berkata.

“Manakala, kajian Malaysian Methadone Treatment Outcome Study (myTOS) pada 2016 telah menunjukkan bahawa rawatan methadone juga telah berjaya mengurangkan kemasukan ke penjara dan pusat pemulihan.”

“Peratusan kemasukan ke penjara telah menurun dari 57 peratus (sebelum rawatan) kepada 9.1 peratus (selepas rawatan) manakala peratusan kemasukan ke pusat pemulihan menurun dari 27.6 peratus (sebelum rawatan) kepada 1.6 peratus (selepas rawatan). Selain daripada itu, kadar residivism (kemasukan berulang) ke penjara di kalangan mereka yang terlibat dalam rawatan methadone juga menurun sebanyak 52.1 peratus,” kata Muhiyuddin.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara Malaysia juga sedang dalam proses penyediaan kerangka reformasi sistem penjara.

Kerangka tersebut antara lain, turut menekankan aspek pendekatan dan pelaksanaan latihan serta pemulihan yang diberikan kepada banduan sama ada di dalam mahupun di luar penjara.

“Ini termasuklah hala tuju Jabatan Penjara Malaysia iaitu membolehkan 2/3 banduan sabitan yang layak menjalani pemulihan di luar penjara menjelang 2030. Setakat ini, pelaksanaan program pemulihan di luar penjara melalui Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib dan Program Reintegrasi Penghuni mempunyai kesan yang amat positif dengan kadar residivis kurang dari 0.5 peratus.

“Impak positif pelaksanaan program ini merupakan suatu dorongan kepada kerajaan untuk terus melaksanakan dasar berkaitan penyalahgunaan dadah yang berasaskan kelima-lima teras dalam Dasar Dadah Negara dengan pelbagai strategi yang turut merangkumi pengurangan kemudaratan,” ujar Muhyiddin.

You may also like