Kerajaan Rancang Klasifikasi Semula Sisa Enap Cemar Kepada Sisa Buangan Bukan Berjadual

Dr Xavier berkata Malaysia akan bekerjasama dengan Belanda bagi rancangan ini, kerana potensi sisa tersebut.

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Kerajaan bercadang untuk mengklasifikasikan semula sisa enap cemar dari loji rawatan air sebagai bahan buangan bukan berjadual.

Menurut menteri air, tanah dan sumber semulajadi, Dr A Xavier Jayakumar, hal ini akan dibincangkan bersama Belanda di dalam Simposium Dan Bengkel Malaysia-Belanda Mengenai Pengurusan Residu Loji Rawatan Air Secara Mampan, yang akan diadakan dari 26 hingga 28 November 2019 di sini, bagi membincangkan potensi sisa air enap cemar, dan untuk berkongsi kepakaran bersama Belanda di dalam pengurusan residu tersebut.

“Terdapat beberapa kajian saintifik di Malaysia menunjukkan bahawa sisa enap cemar air tidak wajar diklasifikasikan sebagai bahan buangan terjadual kerana ia tidak mempamerkan ciri-ciri bahan terjadual seperti toksik, menghakis, mencucuh dan reaktif.

“Kementerian akan berbincang dengan Kementerian Tenaga, Sains,Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim untuk pertimbangan berhubung pengklasifikasian semula sisa enap cemar air ini,” Dr Xavier berkata.

Beliau menambah bahawa negara-negara yang tidak mengelaskan sisa enap cemar air sebagai bahan buangan terjadual, mengitar bahan tersebut dan penggunaannya adalah meluas, seperti tanah pertanian dan taman, produk-produk seramik, bahan kejuruteraan awam (backfill material), bahan mentah simen dan bahan pembinaan (bata dan backfill material).

Dr Xavier berkata demikian ketika menjawab soalan oleh Chow Kon Yeow, ahli Parlimen Tanjong, sama ada kerajaan persekutuan berhasrat mengubah undang-undang persekitaran sedia ada, supaya sisa dari loji rawatan air tidak diklasifikasikan sebagai sisa berjadual dan jika kerajaan mempunyai cadangan untuk mengitar semula sisa berkaitan untuk menghasilkan produk-produk baru, terutama dalam bidang pembinaan seperti yang diamalkan di Belanda.

Dr Xavier berkata bahawa pada masa ini, penguatkuasaan Jadual Pertama Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di bawah Akta Alam Sekitar 1974 (Akta 127), Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah
mensyaratkan bahawa sisa enap cemar air dikelaskan sebagai buangan terjadual.

Beliau menerangkan bahawa sisa dari loji rawatan air tersebut, dilupuskan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), di mana ia hanya boleh dilupuskan atau diolah di premis yang ditetapkan di bawah peraturan ini seperti berikut: Cenviro Sdn Bhd di Bukit Nanas, Negeri Sembilan, tapak pelupusan sanitari (sanitary landfill) dan tapak pelupusan selain pelupusan sanitari dengan mendapat kelulusan JAS terlebih dahulu.

You may also like