Kes Virus Zika Terbaru Dicatatkan Di Perak

Jumlah kes sejak 2019 sekarang berada pada 9 kes.

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengumumkan bahawa satu kes virus Zika dicatatkan di negeri Perak pada Sabtu lepas.

“Pesakit merupakan seorang lelaki, warganegara Malaysia berumur 30 tahun. Pesakit mula mengalami gejala pada 26 September 2019 dengan gejala muntah dan cirit birit,” kata ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam sebuah kenyataan.

“Pesakit adalah dalam keadaan stabil dan masih berada di dalam wad.”

Kes terbaru ini menjadikan jumlah kes disahkan Zika sebanyak sembilan kes, iaitu lapan kes pada tahun 2016 dan satu kes pada tahun 2019.

“Tindakan kawalan telah dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dengan aktiviti Pemeriksaan Tempat Pembiakan Aedes, Larvasiding untuk membunuh jentik-jentik, pengeluaran notis seksyen 8 bagi membersihkan tempat pembiakan berisiko dan semburan ruang thermal.”

Penyakit Zika adalah disebabkan oleh virus Zika yang disebarkan oleh nyamuk Aedes, iaitu nyamuk yang sama menyebarkan penyakit demam denggi dan Chikungunya.

Pesakit yang dijangkiti Zika akan mengalami ruam dengan dua atau lebih gejala lain iaitu demam, sakit badan, sakit sendi, sendi bengkak atau mata kemerahan.

Selain itu, Dr Noor Hisham juga berkata bahawa jangkitan demam denggi masih berada pada tahap tinggi, di mana sehingga 12 Oktober 2019, sejumlah 104,746 kes telah dilaporkan, iaitu 80.1 peratus kenaikan berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018 yang dicatatkan pada 58,155 kes.

Manakala jumlah kematian juga telah meningkat kepada 152 kes berbanding 100 kematian dalam tempoh yang sama tahun lepas.

You may also like