Akta Baru Vape Dalam Semakan Jabatan Peguam Negara

Akta tersebut akan melarang penggunaan rokok elektronik oleh remaja.

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Kerajaan telah menggubah akta baru bagi mengawal rokok elektronik atau vape yang menggunakan cecair tanpa nikotin, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad di Parlimen.

Dzulkefly berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary mengenai penguatkuasaan larangan penjualan vape secara menyeluruh ataupun membendung jualan bahan berkenaan, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah memandangkan bahaya bahan itu daripada aspek kesihatan.

“Bagi rokok elektronik atau vape yang menggunakan cecair tanpa nikotin akan dikawal di bawah Akta Baru yang telah digubal di bawah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang kini sedang dalam semakan pihak Jabatan Peguam Negara,” Dzulkefly berkata.

“Di bawah Akta Baru, ini penggunaan semua jenis produk merokok seperti rokok konvensional dan rokok elektronik atau vape bagi mereka yang berumur di bawah 18 tahun adalah dilarang sama sekali.

“Satu Jawatankuasa Kerja Pakar telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan yang akan mengkaji semula bentuk kawalan yang akan diambil.”

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) telah mengeluarkan kenyataan menyokong keputusan kerajaan.

“PPPKAM menyokong sepenuhnya keputusan kabinet Jemaah Menteri berkaitan kawal selia rokok elektronik dan vape di Malaysia, terutamanya kawalan ke atas sediaan yang mengandungi nikotin dikekalkan di bawah Akta Racun 1952,” kata Wan Mansor Bin Hamzah, presiden PPPKAM.

“Rokok elektronik sama ada mengandungi nikotin atau tidak, akan mendatangkan kesan sampingan kepada kesihatan. Oleh kerana itu pihak kerajaan sewajarnya melarang terus penggunaannya.

“Namun begitu keputusan bahawa rokok elektronik yang mengandungi nikotin kekal di bawah Akta Racun 1952 serta penggunaan tanpa nikotin akan dikawal di bawah Akta baru KKM yang menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 merupakan satu titik permulaan agar ia dapat dilarang di masa hadapan.”

You may also like