KKM: Wabak Rabies Di Sarawak Masih Tidak Terkawal

Bilangan kes gigitan haiwan 2019 hampir sama seperti 2017.

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Wabak rabies di Sarawak telah masuk tahun ketiga sejak pengisytiharan pada Julai 1, 2017, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun begitu, bilangan kes gigitan haiwan khususnya anjing dan kucing masih tinggi, dengan purata dari 40 ke 60 kes sehari, pada kadar yang hampir sama seperti pada 2017.

“Pada tahun 2019 juga, sejumlah besar anjing dan kucing yang menggigit mangsa didapati positif ujian rabies,” kata Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, dalam sebuah kenyataan.

“Berdasarkan laporan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, sehingga 30 September 2019, sebanyak 138 (32.8 peratus) sampel daripada sejumlah 420 anjing dan kucing yang dijalankan ujian adalah didapati positif rabies.”

Selain itu, pada 2019, terdapat lima kes disahkan rabies dalam kalangan manusia.

Kes terakhir melibatkan seorang lelaki berumur 64 tahun dari sebuah rumah panjang di Mukah, Sarawak; dan telah meninggal dunia pada 19 Ogos 2019 semasa dalam perhatian rapi pakar perubatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Bintulu.

“Sejak 1 Julai 2017 sehingga 3 Oktober 2019, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia adalah 21 orang.

“Kesemua kes telah meninggal dunia kecuali seorang kanak-kanak yang masih hidup dan kini berumur sembilan tahun yang mengalami komplikasi neurologi teruk akibat jangkitan rabies,” ujar Dr Noor Hisham.

Gigitan atau cakaran anjing adalah punca utama bagi hampir kesemua kes rabies yang dilaporkan.

Hampir keseluruhan Sarawak, kecuali Limbang, telah melaporkan anjing dan kucing yang didapati positif rabies.

“KKM ingin menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi saranan dan arahan pihak berkuasa dalam pelaksanaan Program Kawalan dan Pencegahan Rabies bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat Sarawak,” kata Dr Noor Hisham.

You may also like