KKM Mengurangkan Kemasukan Pesakit Pembedahan Sebanyak 28 Peratus

KKM memerlukan pertambahan perjawatan, Dr Lee Boon Chye berkata.

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Prosedur pembedahan yang dijalankan secara rawatan harian di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengurangkan jumlah kemasukan pesakit di wad-wad pembedahan sebagai pesakit lebih kurang 28 peratus.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye memberitahu Parlimen semasa menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz, bahawa perkhidmatan rawatan harian (PRH) itu merangkumi perkhidmatan klinikal dijadualkan dan disempurnakan dalam hari yang sama.

Ikmal Hisham telah bertanya apa langkah dan usaha dilakukan oleh KKM dalam usaha mengatasi masalah kesesakan di wad-wad hospital kerajaan yang ketika ini dianggap kritikal.

Antara langkah dan usaha lain KKM untuk menangani isu ini, menurut Boon Chye, adalah pelaksanaan inisiatif Hospital Kluster, mewujudkan Bed Management Unit (BMU), melaksanakan konsep ward-levelling, pewujudan Discharge Lounge di hospital-hospital tertentu, dan pembangunan hospital-hospital baru dan hospital gantian.

Hospital Kluster merupakan kerjasama di antara hospital berpakar dengan hospital tanpa pakar bagi membolehkan pesakit luar bandar menerima rawatan kepakaran tanpa perlu dirujuk ke hospital berpakar dan menunggu lebih lama untuk dilihat oleh doktor pakar.

BMU merancang kemasukan pesakit elektif serta memastikan pesakit-pesakit yang memerlukan katil dapat diutamakan dengan cepat. Projek rintis BMU ini telah dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Hospital Kuala Lumpur.

Ward-levelling di hospital-hospital KKM memastikan wad-wad yang mempunyai kadar penggunaan katil (BOR) yang rendah dapat dioptimakan, manakala Discharge Lounge di hospital-hospital tertentu menempatkan pesakit yang boleh di discaj agar katil dapat dikosongkan dengan cepat untuk kegunaan pesakit yang seterusnya.

”Walau bagaimanapun bagi melaksanakan langkah-langkah ini, perlu diwujudkan juga pertambahan perjawatan yang bersesuaian mengikut keperluan semasa bagi meningkatkan keupayaan fasiliti kesihatan KKM ke arah memberi perkhidmatan yang terbaik,” kata Boon Chye.

”Sebagai langkah untuk mengatasi kekurangan perjawatan ini, KKM telah mengemukakan permohonan peruntukan dan perjawatan kepada agensi pusat khususnya bagi menangani keperluan di fasiliti baharu dan fasiliti yang dinaik taraf.”

You may also like