Pesakit Tunggu Berjam Untuk Mendaftar Di Hospital Selayang

Manakala di Hospital Serdang, kekurangan parkir membebankan pesakit.

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Pesakit terpaksa menunggu lebih sejam, ataupun dua jam, untuk mendaftar di Hospital Selayang yang melayan lebih 3,000 pesakit setiap hari.

“Saya sampai dari Ampang jam 8 pagi, ambil nombor giliran lebih 100 pesakit lain di hadapan saya,” kata pesara kerajaan, Saharudin Ismail, kepada Berita Harian.

“Selepas dua jam tidak dipanggil lagi untuk daftar, saya jangkakan, jam 12 tengah hari baru dapat jumpa doktor dan ambil ubat. Mungkin jam 2 petang baru dapat balik.”

Selain itu, suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Zuraidah, berkata bahawa beliau terpaksa menunggu nombor giliran dengan lebih 80 orang lagi pesakit lain di hadapannya pada hari itu dan perlu berdiri sepanjang masa menunggu nombornya dipanggil.

Menurut Berita Harian, daripada enam kaunter pendaftaran di hospital kerajaan tersebut, hanya tiga saja yang digunakan untuk memanggil nombor pesakit. Tiga lagi tidak aktif.

“Setiap hari kakitangan kami perlu melayan lebih 3,000 pesakit yang datang daripada seluruh pelosok negara dan hari ini saja, lebih 1,800 pesakit datang mendapatkan rawatan dan pemeriksaan,” sumber dari unit perhubungan awam Hospital Selayang berkata.

“Hospital Selayang adalah hospital rujukan pelbagai penyakit termasuk dari Sabah dan Sarawak, menyebabkan keadaan sesak setiap hari,” katanya.

Sementara itu, di Hospital Serdang, parkir adalah masalah besar.

“Lebih elok saya datang awal pagi supaya tak berebut parkir. Kalau lewat tak dapat parkir kerana jam 8 pagi semua parkir sudah penuh,” kata Alex Teh, walaupun beliau tinggal di Serdang.

Kesesakan di kawasan parkir hospital kerajaan tersebut bermula seawal jam 8 pagi, di mana kereta sudah diletakkan secara berlapis di kiri dan kanan, sehingga hanya lorong kecil dibiarkan kosong, muat-muat sebiji kereta saja boleh melalui di bahagian tengahnya.

Kebanyakan pesakit diberikan pilihan untuk meletak kereta di parkir alternatif Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) terletak, kira-kira dua kilometer dari hospital itu, tetapi parker itu berbayar.

“Hanya dua van shuttle disediakan yang berulang alik menghantar pesakit ke hospital dan membawa pulang ke parkir. Jumlah pesakit yang ramai pada satu masa memaksa kami menunggu van shuttle kira-kira 10 minit untuk ke hospital,” kata Sharifah Ismail, seorang suri rumah dari Puchong.

You may also like