KKM: Risiko Demam Kuning Masuk Malaysia Dari Luar Negara

KKM mempertingkatkan usaha-usaha mencegah kemasukan penyakit tersebut dari negara-negara berisiko.

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada kematian disebabkan oleh demam kuning dicatatkan di Malaysia setakat ini, susulan laporan bulan lepas mengenai 16 kematian di Bauchi, Utara Nigeria yang disebabkan oleh demam tersebut.

Di antara sebab kematian adalah penolakan vaksin demam kuning di kalangan penduduk.

“Sehingga kini tiada kes demam kuning yang dilaporkan di Malaysia,” kata Dr Noor Hisham Abdulah, Pengarah Kesihatan Malaysia, dalam sebuah kenyataan.

“Namun begitu, Malaysia mempunyai risiko transmisi jangkitan penyakit ini disebabkan oleh terdapatnya nyamuk Aedes.

“Virus demam kuning boleh dibawa masuk ke Malaysia melalui pelawat yang tiba dari negara-negara yang berisiko yang tidak mengambil vaksin demam kuning dan telah dijangkiti penyakit ini,” ujar beliau.

KKM telah memperkuatkan langkah-langkah mencegah penyakit ini masuk ke dalam negara.

Antaranya ialah, bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi membuat saringan sijil vaksinasi demam kuning di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) bagi mengesan pengembara-pengembara warganegara asing atau warganegara Malaysia yang tiba dari atau pernah melawat negara yang tersenarai sebagai berisiko mengalami transmisi penyakit tersebut.

KKM juga telah berganding bahu dengan Kementerian Pendidikan untuk memastikan keperluan vaksinasi di kalangan pelajar asing dari negara berisiko jangkitan dipatuhi.

Selain itu, KKM bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memberi kesedaran kepada pengembara mengenai keperluan suntikan demam kuning sekiranya mereka ingin ke negara yang berisiko.

“KKM ingin menasihati rakyat Malaysia yang ingin mengadakan lawatan ke negara-negara yang berisiko mengalami transmisi demam kuning agar mendapatkan suntikan vaksin demam kuning selewat-lewatnya 10 hari sebelum tarikh berlepas ke negara tersebut dan membawa bersama sijil imunisasi yang sah semasa mengadakan perjalanan keluar negara,” saran Dr Noor Hisham.

Terdapat 29 negara Afrika dan 13 negara Amerika Selatan yang dikategorikan sebagai negara-negara berisiko mengalami transmisi demam kuning yang dikenalpasti oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

You may also like