KKM Lancar Kempen Waspada Beli Ubatan Dalam Talian

Hashtag ialah #biarbetuliklanni!

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan kempen sepanjang bulan Oktober bagi memberi kesedaran kepada pengguna mengenai risiko membeli ubat-ubatan secara dalam talian.

“KKM memandang serius penjualan ubat-ubatan secara dalam talian dan pengiklanan ubat-ubatan dengan pelbagai tuntutan yang diragui kesahihannya,” kata Dr Noor Hisham Abdullah, Pengarah Kesihatan Malaysia, dalam sebuah kenyataan.

“Pengguna didedahkan kepada risiko mendapat ubat tidak berdaftar, ubat tiruan dan ubat dicampur palsu Racun Berjadual yang boleh mengancam nyawa.

“Justeru pengguna perlu berwaspada apabila membuat pembelian ubat dalam talian,” beliau berkata.

Kempen tersebut dianjurkan untuk memberi pendidikan kepada pengguna tentang risiko pembelian ubat secara dalam talian dan membolehkan mereka membuat pertimbangan wajar dengan menyemak terlebih dahulu semua maklumat yang terkandung dalam iklan ubat di internet.

Antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang kempen ini adalah sebaran infografik di laman sosial rasmi KKM, sebaran mesej melalui aplikasi WhatsApp, ceramah, pameran dan wawancara di radio dan televisyen.

“Melalui kempen ini juga pelbagai tips yang berguna sebelum membuat pembelian ubat dalam talian dapat diaplikasikan, iaitu pengguna perlu menyemak terlebih dahulu status pendaftaran ubat-ubatan dengan memastikan ubat-ubatan tersebut telah berdaftar dengan KKM,” beliau berkata.

Kempen tersebut juga melancarkan sebuah hashtag, iaitu #biarbetuliklanni!.

“Hashtag ini merupakan tagline yang dipilih dalam kempen ini bertujuan untuk menerapkan kewaspadaan di kalangan pengguna supaya tidak mudah percaya iklan-iklan ubat dan pelbagai testimoni yang meragukan di internet,” Dr Noor Hisham ujar.

You may also like