Doktor Gigi Di Sea Park Cedera Di Leher Akibat Disamun ‘Pesakit’

Mangsa mengalami kerugian wang tunai anggaran kurang daripada RM2,000 dan dokumen penting.

KUALA LUMPUR, 27 September – Seorang doktor gigi mengalami kecederaan selepas disamun oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai pesakit ketika menerima rawatan di sebuah klinik gigi di Seksyen 14, Sea Park.

Sinar Harian melaporkan jururawat klinik tersebut berkata bahawa suspek telah datang untuk membuat rawatan akar gigi pada jam 9.30 pagi dan rawatan selesai kira-kira jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata bahawa suspek telah mendaftarkan dirinya sebagai Murali dan menggunakan alamat di Kampung Medan.

“Hasil semakan gambar penama Murali dari rekod Jabatan Pendaftaran Negara yang ditunjukkan kepada mangsa, disahkan oleh mangsa bukan suspek sebenar. Kita percaya suspek menggunakan kad pengenalan milik orang lain,” katanya.

“Selepas selesai rawatan suspek datang dari arah belakang mangsa yang berusia 57 tahun itu dan mencederakannya dengan senjata tajam.

“Mangsa yang mengalami kecederaan kini sedang dirawat di sebuah hospital akibat kecederaan luka di leher serta ditempatkan di wad. Tahap kecederaan mangsa adalah luka melintang di bahagian leher kiri, keadaan mangsa stabil dan boleh bercakap,” katanya.

Mangsa mengalami kerugian wang tunai anggaran kurang daripada RM2,000 dan dokumen penting.

Manakala, polis telah menemui sebilah pisau lipat yang digunakan untuk mencederakan mangsa di klinik tersebut.

You may also like