Jerebu: Kes Sakit Mata Naik 30 Peratus Di Hospital Awam

Kes konjunktivitis di Hospital Shah Alam berganda daripada 40 kes kepada 80 kes sehari berbanding bulan lalu.

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Jumlah pesakit bagi kes berkaitan konjunktivitis di hospital kerajaan didapati meningkat 20 hingga 30 peratus akibat masalah jerebu yang melanda negara sekarang.

Walau bagaimanapun, peningkatan tersebut dikatakan keadaan biasa setiap kali Malaysia dilanda gejala jerebu.

“Kita dapati peningkatan 20 hingga 30 peratus pesakit di klinik mata kerajaan bagi mendapatkan rawatan mata akibat jerebu,” kata Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr Nor Fariza Ngah, seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

“Contohnya di Hospital Shah Alam saja, beza bulan lalu dan bulan ini, kes berganda daripada 40 kes kepada 80 kes sehari yang datang dengan masalah konjunktivitis.

“Selalunya pesakit mengalami gejala mata kering dan mereka akan membeli ubatan sendiri, namun apabila masalah berlarutan sehingga mata mengalami gatal dan kemerahan, mereka akan datang merujuk kepada klinik mata kerajaan,” katanya.

Orang ramai diujar supaya mengurangkan aktiviti luar rumah untuk mengurangkan risiko kepada kesihatan mereka.

You may also like