Tip Jaga Kesihatan Semasa Jerebu

Penganjuran aktiviti luar disarankan dihentikan jika IPU melebihi 100.

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Ketua pengarah kesihatan Malaysia telah menasihatkan orang ramai agar peka dengan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing dan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan.

Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sebuah kenyataan akhbar, telah menyenaraikan beberapa langkah keselamatan, antaranya ialah elakkan aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu.

“Oleh itu, selari dengan saranan di dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, penganjuran melibatkan aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihatkan supaya ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100,” beliau berkata.

Beliau juga menyarankan bahawa orang ramai perlu banyakkan berada berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) yang sesuai.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya menutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan; dan mengelakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.

“KKM dengan kerjasama rapat agensi-agensi berkaitan akan terus memantau keadaan jerebu dan juga keadaan pesakit yang datang mendapatkan rawatan di Klinik dan Hospital KKM,” beliau berkata.

You may also like