Ainul Mardhiah Selamat Pulang Ke Rumah

Ainul Mardhiah perlu dikuarantinkan di rumah kecuali untuk ke hospital.

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin telah selamat pulang ke kediamannya bersama ibu bapanya di Melaka kelmarin, tiga bulan selepas menjalani pembedahan untuk kanser germ cell tumour.

Sebelum dibenarkan pulang ke rumah, Ainul, yang berumur 13 bulan, terlebih dahulu dipantau di Hospital Melaka untuk satu malam.

“Akhirnya, kami dapat balik ke rumah. Selama empat bulan di hospital, pelbagai detik dan situasi dilalui. Sudah tentu saat ini dinanti-nantikan,” kata ibunya Nurul Erwani, menurut Berita Harian.

Walaupun sudah di kediamannya, Ainul Mardhiah masih perlu membuat beberapa rawatan susulan setiap bulan bagi memantau tahap kesihatannya, selain menjalani fisioterapi; dan tetap perlu memakai alat sokongan pernafasan, walaupun kesihatannay menunjukkan perkembangan positif.

Atas nasihat doktor, Ainul Mardhiah perlu dikuarantinkan di rumah kecuali untuk ke hospital, berikutan sistem imun tidak kuat dan mudah terkena jangkitan.

Ainul Mardhiah telah menjalani pembedahan untuk kanser germ cell tumour di mulutnya pada 10 Jun di Hospital Great Ormond Street, London.

You may also like