KKM: Hindari Hamer Ginseng & Coffee Candy Yang Mengandungi Ubat Mati Pucuk

KKM telah menjalankan 19 serbuan sepanjang 2019.

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan beberapa kedai yang menjual Hamer Ginseng & Coffee Candy, yang didapati mengandungi racun “Nortadalafil” yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa, di sekitar Lembah Klang sejak tahun lalu.

“Nortadalafil” adalah sejenis ubat terkawal yang digunakan untuk merawat masalah fungsi seksual lelaki iaitu mati pucuk (impotensi atau “erectile dysfunction”).

Penggunaan racun tersebut secara tidak terkawal dan tanpa pengawasan pakar kesihatan bertauliah boleh menyebabkan kesan serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah sehingga ke peringkat yang merbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung yang boleh menyebabkan kematian.

Pada tahun 2018, KKM melalui Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) telah membuat enam serbuan merangkumi rampasan produk sebanyak 328 paket dengan nilai rampasan sebanyak RM2,724.

Sepanjang 2019, 19 serbuan telah dijalankan dengan nilai rampasan keseluruhan produk tersebut direkodkan sebanyak RM18,910.

“Pada tahun 2019, sebanyak 87 platform melibatkan laman sesawang dan media sosial berkaitan penjualan produk Hamer Ginseng & Coffee Candy telah disaring, dipantau dan diambil tindakan sekatan di seluruh negara oleh BPF bersama-sama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Facebook, Google, pembekal domain dan web hoster.

“Selain itu, sebanyak 21 notifikasi juga telah dikeluarkan kepada pengendali e-dagang untuk menurunkan iklan-iklan penjualan produk tersebut dari tahun 2018 hingga kini. Kolaborasi bersama pihak antarabangsa seperti Interpol dan agensi kesihatan luar negara turut diadakan dalam usaha membanteras aktiviti sedemikian,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

Penjualan racun berjadual tanpa lesen yang sah boleh disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian menyeru orang ramai yang memegang stok produk tersebut agar menghentikan dengan serta merta semua penjualan, pengedaran atau penggunaannya; dan agar mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan kepada pihak KKM.

You may also like