Had Umur Bersara Malaysia Mungkin Dinaikkan Ke 65 Tahun

M. Kulasegaran menafikan cadangan meningkatkan had umur bersara akan mengurangkan peluang pekerjaan kepada generasi muda.

KUALA LUMPUR, 2 Sept — Ada kemungkinan had umur bersara mandatori di negara ini dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun, seperti yang dilakukan beberapa negara maju termasuk Singapura.

Bernama melaporkan Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata perbincangan dengan Kementerian Kewangan telah diadakan untuk memperhalusi beberapa perkara sebelum keputusan dibuat.

“Kita telah memberi beberapa pandangan dan tujukan kepada Kementerian Kewangan, termasuk mengenai permintaan kenaikan pemberian elaun kos sara hidup (Cola),” beliau berkata kepada pemberita ketika program Kempen Menanam Pokok di Taman Dr Seenivisagam, Ipoh.

Semalam, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun Cola bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta menerusi Belanjawan 2020, selain meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun.

Kulasegaran juga menafikan cadangan itu akan mengurangkan peluang pekerjaan kepada generasi muda.

“Negara ini kekurangan tenaga kerja dan bukannya kekurangan peluang pekerjaan. Kita mengambil ramai pekerja asing disebabkan negara ini kekurangan tenaga kerja,” katanya.

You may also like