Bantuan Kecemasan Belum Tiba, Agong Bantu Mangsa Kemalangan

Mohamed Azmin Ali berkata Yang di-Pertuan Agong membantu mangsa kemalangan memandangkan bantuan kecemasan belum tiba.

SHAH ALAM, 2 Sept — Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terus menarik perhatian rakyat apabila sekali lagi turun mencemar duli untuk membantu mangsa kemalangan, pada hari Sabtu.

Menerusi beberapa entri yang dimuat naik Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali ke akaun Instagram, Al-Sultan Abdullah ketika itu dalam perjalanan pulang selepas menghadiri program ‘Anak-anak Malaysia Walk 2019’ di Eco Ardence di Setia Alam.

Mangsa kemalangan merupakan seorang wanita yang mengalami kecederaan ringan apabila kenderaannya terbabas dan terbalik di laluan kanan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), berhampiran persimpangan USJ.

“Mangsa kemalangan merupakan seorang wanita India. Memandangkan bantuan kecemasan belum tiba, Tuanku telah bertitah agar polis pengiring segera memberi bantuan dan menghantar mangsa ke hospital,” Azmin berkata di Instagram.

Berdasarkan audit kebangsaan yang dikeluarkan Julai lalu, ambulans hospital awam di Lembah Klang mengambil masa sehingga 87 minit untuk sampai ke tapak kejadian dalam kecemasan kritikal.

Laporan Ketua Audit Tahun 2018 Siri 1, yang menilai perkhidmatan ambulans Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), Hospital Selayang dan Hospital Serdang, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia gagal mencapai petunjuk utama (KPI) sekurang-kurangnya separuh daripada perkhidmatan ambulans bertindak balas kurang dari 15 minit untuk kes kritikal.

You may also like