KPWKM: Hamil Luar Nikah? Anda Tidak Keseorangan

Video KPWKM ditayangkan di kesemua 35 lokasi TGV di seluruh negara.

KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan pesanan khidmat masyarakat di panggung wayang TGV untuk menghulurkan bantuan kepada perempuan yang hamil luar nikah.

Video KPKWM menggesa orang perempuan yang hamil luar nikah untuk hubungi Talian Kasih 15999, berterus-terang dengan keluarga atau kenalan yang dipercayai, rujuk segera ke klinik atau hospital kerajaan, dan berhubung dengan doktor serta kaunselor melalui aplikasi Kafe Teen.

“Anda tidak keseorangan,” kata iklan KPWKM.

“Dapatkan bantuan di rumah perlindungan untuk bayi dan diri anda. Kami sedia membantu anda.”

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata video itu ditayangkan di kesemua 35 lokasi TGV di seluruh negara melibatkan 282 panggung wayang (kecuali filem kanak-kanak).

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, dilaporkan berkata pada bulan Jun lepas bahawa polis telah merekodkan sejumlah 577 kes pembuangan bayi dari tahun 2014 hingga 2018.

Hannah telah berkata 60 peratus bayi yang ditemui meninggal dunia.

You may also like