Kesatuan Akan Lapor SPRM Jika Salah Laku Dalam Kemalangan Ambulans

Kesatuan pemandu-pemandu kenderaan KKM menerima aduan daripada banyak hospital mengenai penyelenggaraan ambulans yang lemah.

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Sebuah kesatuan pemandu-pemandu kenderaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata akan membuat aduan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya punca sebuah ambulans terlibat dalam kemalangan maut baru-baru ini didapati akibat penyelenggaraan yang lemah.

Pada 4 Ogos lalu, sebuah ambulans dari Hospital Slim River ditimpa kemalangan di Slim River, Perak yang meragut nyawa pemandu dan seorang pesakit. Siasatan awal polis menunjukkan kejadian disebabkan tayar pecah.

“Kita tegaskan, sekiranya ada wujudnya ketirisan bagi pihak konsesi Edgenta tu, kita akan buat laporan kepada SPRM sebab ini melibatkan nyawa,” kata Reostam Dzahar, setiausaha agung Kesatuan Pemandu-Pemandu Kementerian Kesihatan Semenanjung Malaysia (KPPKKSM) kepada CodeBlue.

UEM Edgenta, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertanggungjawab di atas penyelenggaraan ambulans di Hospital Slim River, masih belum memberikan sebarang komen mengenai kemalangan tersebut atau mengenai dakwaan penyelenggaraan kenderaan yang lemah di hospital kerajaan tersebut.

KPPKKSM juga meluahkan rasa ketidakpuashati kerana dikecualikan daripada siasatan dalaman KKM yang menyiasat kemalangan ambulans itu.

“Sehingga kini, kita belum dapat apa-apa lagi penjelasan dari pihak kementerian atau hospital yang terbabit,” Reostam berkata.

“Kita dari pihak persatuan, kita minta supaya benda ini disiasat dengan telus dan sebagainya. Sekiranya terdapat kecuaian di pihak konsesi, kita minta mereka dipertanggungjawab sepenuhnya.”

Pada hari Isnin lalu, CodeBlue melaporkan aduan daripada lapan orang kakitangan Hospital Slim River mengenai ambulans-ambulans yang mengalami insiden tayar pecah, ketika kenderaan-kenderaan tersebut membawa pesakit. Perkara ini berulang sebanyak tiga kali sebelum kejadian 4 Ogos, dan juga berlaku pada kadar yang sama tahun lalu. Walau bagaimanapun, insiden-insiden itu tidak menyebabkan kemalangan.

Mereka juga mendakwa terdapat pelbagai masalah berkaitan dengan keadaan ambulans-ambulans di situ, termasuklah Ambulans W4802M yang terlibat dalam kemalangan maut itu. Kenderaan tersebut dikatakan mempunyai pemegang pintu dan radio yang rosak, dan tidak mempunyai tali pinggang keledar pada stretcher.

Mereka juga mengatakan pemeriksaan penyelenggaraan pada ambulans-ambulans tersebut tidak dilakukan dengan teliti. Aduan kakitangan mengenai kenderaan-kenderaan tersebut juga sering tidak diendahkan.

Reostam berkata tahap masalah seperti yang dilaporkan di hospital awam tersebut amat mengecewakan.

“Kita tak tahu macam tu punya. Kalau betul dia sebut, teruk lah,” kata beliau. ”Memang kita minta, sama ada pihak jabatan, pihak konsesi, atau pihak kejuruteraan di kementerian akan dipertanggungjawabkan benda ini.”

KPPKKSM mendakwa banyak menerima aduan daripada hospital-hospital kerajaan mengenai penyelenggaraan kenderaan yang lemah, terutamanya ambulans.

“Kita cuba highlightkan perkara ini, tetapi ia tidak diambil apa-apa action. Kita tak tahu disebabkan apa,” kata Reostam.

Kesatuan pekerjaan tersebut – yang mewakili lebih kurang 3,000 pemandu yang bertugas di hospital/ pejabat kesihatan / pergigian / intititut latihan KKM dan semua fasiliti kesihatan – berkata isu aduan mengenai penyelenggaraan kenderaan di tempat-tempat tersebut dibangkitkan setiap kali dalam perjumpaan suku tahunan mereka.

“”Kita memang sekarang minta penjelasan supaya penambahbaikan segera dilakukan. Kita tak mahu kes yang sama berulang kepada pemandu-pemandu lain,” tegas beliau.

Reostam berkata aduan-aduan ini tidak hanya melibatkan hospital yang menerima perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dari UEM Edgenta. GLC tersebut bertanggungjawab memberi perkhidmatan sokongan hospital untuk 32 buah hospital KKM di Perak, Kedah, Penang dan Perlis dibawah konsesi 10 tahun yang berakhir pada tahun 2025.

“Ia termasuk syarikat lain juga. Kita tak boleh fokus kepada Edgenta saja. Syarikat konsesi lain yang ada di bawah Kementerian Kesihatan perlu diaudit.”

Beliau juga mengesa kerajaan agar mengambil insurans bagi kenderaan mereka, dan tidak melantik pembantu perubatan menjadi penyelia kenderaan, seperti yang didakwa berlaku di Hospital Slim River.

“Tayar tu you boleh check pakai stetoskop ke?” Reostam bertanya, “Jaga kenderaan, you tak tahu pasal tu, tapi dilantik. Inilah jadinya”.

You may also like