Wanita Bateq Derita Sakit Kulit Pulih

By CodeBlue | 21 August 2019

Yati juga tidak terkecuali dari jangkitan penyakit demam campak.

  •  
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Yati Ripin, wanita Orang Asli suku Bateq Kampung Kuala Koh yang menderita penyakit kulit kronik pada awal tahun ini, kembali pulih.

Sinar Harian melaporkan wanita berumur 30 tahun itu berkata, ketika jangkitan penyakit demam campak meragut nyawa rakan-rakan sekampung dan ahli keluarganya sejak awal Mei lalu di Gua Musang, dia juga tidak terkecuali sehingga tidak mampu menguruskan diri serta keluarga.

Jangkitan demam campak tersebut meragut nyawa 15 Orang Asli dari kaum suku Bateq yang tinggal di Kampung Kuala Koh.

“Saya juga turut lari ke hutan dan menunggu masa seperti rakan lain. Saya kena jangkitan penyakit ditambah pula dengan sakit kulit yang dihidapi sebelum ini.

“Saya tidak mampu berjalan sehingga perlu dipimpin untuk dibawa ke HGM (Hospital Gua Musang) ketika itu.

“Saya juga ditempatkan di wad dan dikuarantin di PPS (Pusat Pemindahan Sementara) Taman Etnobotani Gua Musang. Sekarang saya sudah beransur pulih dan masih mengambil bekalan ubat untuk sakit kulit,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Yati memberitahu dia seolah-olah sedang menunggu mati akibat penyakit kulit itu. Kesihatannya ketika itu terjejas teruk malah sering demam sehingga tidak mampu melakukan aktiviti seharian.

“Saya mengalami penyakit kulit ini sudah lama sejak remaja. Hampir semua badan saya bersisik dan gatal-gatal. Malah kedua-dua anak saya juga turut dijangkiti penyakit ini sehingga tidak dapat melelapkan mata kerana sakit,” katanya.

  •  
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

You may also like