Pelajar Jadi ‘Ejen’ Jualan Vape

Lebih banyak perempuan sekarang vape walaupun mereka tidak pernah merokok.

KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Terdapat kumpulan di Pulau Pinang yang dikesan menjadi ejen jualan yang membekalkan peralatan rokok elektronik dan vape (ECV) kepada pelajar, termasuk dalam kalangan mereka sendiri.

Hal itu didedahkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) susulan satu kaji selidik terhadap 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah, lapor The Star.

Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subharow memaklumkan, terdapat juga pelajar yang membuat kumpulan sendiri dan menamakan kumpulan itu sempena nama cecair elektronik.

“Mereka tidak faham apa yang salah. Mereka fikir kerana ia perasa buah, ia tidak bahaya. Mereka tidak tahu apa itu nikotin,” kata Subharow sambil memaklumkan, jumlah pelajar perempuan yang menggunakan vape juga semakin ramai.

Dan walaupun masyarakat masih mempunyai persepsi negatif tentang wanita yang merokok atau vape, mesej yang disampaikan kini ialah sesiapa saja menggunakannya kerana ia “trendy” dan dapat membantu menurunkan berat badan.

Subharow dilaporkan berkata lebih banyak perempuan sekarang vape kerana terdapat perisa buah cecair elektronik, walaupun mereka tidak pernah merokok.

Pakar Pendidikan N. Siva Subramaniam mahu Kementerian Pendidikan menangani isu ini yang telah mewujudkan kekacauan dalam sistem pendidikan.

“Ajar para pelajar tentang keburukan merokok dan vape.

“Malaysia akan gagal sekiranya kita tidak menghasilkan anak muda yang boleh mencorak masa depan negara,” katanya.

Pada 21 Julai lalu, Kementerian Pendidikan memaklumkan mereka akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menghalang penjualan ECV di sekolah.

You may also like