Kes Nora Quoirin: KKM Yakin Kredibiliti Pakar Patologi Malaysia

Ibu bapa Nora Quoirin membincangkan untuk melakukan bedah siasat kedua di Britain atau Perancis.

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Ibu bapa Nora Anne Quoirin berhak meminta untuk melakukan bedah siasat kedua di luar negara terhadap anak mereka, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata.

Menurut timbalan menteri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mayat remaja berumur 15 berkenaan sudah dituntut oleh keluarga itu dari Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan.

“Itu terpulang kepada mereka dan ia adalah hak mereka untuk buat bedah siasat kedua di luar negara.

“Apa yang pasti, mereka sudah tuntut mayat Nora Anne dan terpulang kepada mereka untuk buat siasatan selanjutnya,” katanya seperti yang dipetik dari Sinar Harian.

Boon Chye berkata pihaknya yakin dengan kecekapan pakar patologi tempatan yang melaksanakan bedah siasat mayat remaja Ireland itu.

“Kita memang yakin dengan profesionalisme pakar-pakar patologi yang melakukan bedah siasat itu.

“Bedah siasat kedua tidak akan menggoyahkan keyakinan dan kecekapan pakar patologi negara kita,” katanya.

Laporan portal Daily Mirror menyebut Maebh Jaseprine Quoirin, 45, dan Sebastian Marie Philipe, 47, sedang membincangkan untuk melakukan bedah siasat kedua di Britain atau Perancis bagi memastikan ahli patologi tidak terlepas sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan kematian Nora Anne.

Hasil bedah siasat ke atas Nora Anne pada 14 Ogos lalu yang dikendalikan pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur dan Dr Siew Sheue Feng Dan Dr Hanif Mohammad dari Hospital Tuanku Jaafar mengesahkan remaja itu meninggal dunia disebabkan kebocoran pada usus, mungkin akibat kelaparan dan stres berpanjangan.

Mayat Nora Anne dijumpai pada 13 Ogos lalu di hutan, kira-kira 2.5km dari sebuah resort di Pantai, Seremban, selepas beliau kehilangan pada 4 Ogos, satu hari selepas beliau dan keluarganya check-in ke resort untuk cuti selama dua minggu.

You may also like