Bayi Hilang Anggota Badan Kerana Sepsis Menerusi Jangkitan Kerongkong

Ada kemungkinan bahawa penyakit yang tidak dapat dijelaskan dalam kalangan kanak-kanak adalah sepsis.

KUALA LUMPUR, 16 Ogos — Seorang bayi di United Kingdom hilang kedua-dua belah kaki dan tangannya selepas jangkitan kerongkong yang tidak didiagnosis menyebabkan sepsis.

Abigail Wardle diberitahu sebanyak dua kali oleh doktor yang merawat anaknya, Oliver Aisthorpe, yang bayi berusia 11 bulan itu mungkin tidak dapat disembuhkan daripada penyakitnya.

Biarpun berjaya mengatasi jangkitan, namun Abigail, dari Lincolnshire terpaksa melalui saat hiba apabila kaki anaknya “terputus” sendiri, ketika berada dalam pangkuannya.

Cerita Abigail kepada Yahoo Style UK, dia menyedari ada yang tidak kena pada Oliver pada Mac lalu, selepas melihat bahagian “soft spot” di kepala bayi itu sedikit ke dalam, dan anaknya itu juga nampak kurang sihat.

Ketika dibawa ke klinik, doktor hanya memaklumkan Oliver kekurangan air.

Namun apabila keadaan Oliver semakin teruk keesokannya, Abigail membawanya ke hospital dan seorang jururawat membawa bayi itu terus ke bahagian kecemasan.

Walaupun begitu, ketika anaknya berada dalam keadaan koma, Abigail masih tidak faham apa yang berlaku dan doktor serta jururawat juga mengambil masa yang agak lama sebelum membuat pengesahan.

Doktor mengesahkan Oliver mengalami sepsis menerusi jangkitan kerongkong yang tidak didiagnosis, walaupun Abigail mengakui anaknya itu tidak menunjukkan sebarang simptom.

Kesannya, Oliver kini kehilangan kedua-dua belah kaki dan tangan, namun ajaibnya, bayi itu semakin sihat dan dibenarkan keluar hospital bulan lalu.

“Anggota badan tersebut berat dan tidak selesa — Oliver sengsara. Saya tahu ini ialah perkara pelik untuk seorang ibu untuk cakap, tetapi saya terdesak untuk mereka memotong anggota badan itu.

“Apabila anggota badannya telah dipotong, dia macam kanak-kanak berlainan — sangat gembira dan hidup dengan penuh keceriaan, ia macam kelegaan untuknya,” kata Abigail.

Abigail mahu ibu bapa dan doktor mengetahui adanya kemungkinan bahawa penyakit yang tidak dapat dijelaskan, biarpun dalam kalangan kanak-kanak, sebenarnya adalah sepsis.

“Saya mahu kisah ini jadi iktibar untuk membantu menyebarkan kesedaran kepada ibu bapa dan doktor lain yang mungkin tidak mempunyai latihan pediatrik khusus, mengenai tanda-tanda sepsis,” katanya.

You may also like