Lebih 30 Belia AS Dikejarkan Ke Hospital Selepas Vape

Mereka mengalami masalah pernafasan yang teruk; beberapa mengalami kerosakan paru-paru.

KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Kira-kira 36 belia telah dimasukkan ke hospital di seluruh Amerika Syarikat sejak beberapa minggu kebelakangan ini kerana masalah pernafasan yang teruk, gara-gara penggunaan rokok elektronik (vape) nikotin atau ganja.

New York Times lapor Jabatan Kesihatan Awam Illinois, Minnesota dan Wisconsin sedang menyiasat kes-kes tersebut dan sekurang-kurangnya 20 pesakit dimasukkan ke unit kecemasan, disyaki berkaitan dengan penggunaan vape yang kemungkinan ditambah dadah haram atau cecair yang dicampur dengan T.H.C., ramuan yang menghasilkan ganja.

California turut melaporkan menerima beberapa kes yang serupa.

Kebanyakan pesakit mengalami kesukaran bernafas sewaktu tiba di hospital. Sesetengah pesakit juga dilaporkan sakit dada, muntah-muntah dan beberapa penyakit lain. Kesemua kes dilaporkan sudah berada di peringkat kritikal, dengan beberapa pesakit yang mengalami kerosakan paru-paru yang teruk dan memerlukan rawatan di unit rawatan intensif.

Setiap pesakit dilaporkan menggunakan vape atau peranti lain beberapa minggu sebelum dimasukkan ke hospital, tetapi belum dapat dipastikan penyebabnya.

“Kami tahu mereka sakit. Kami belum tahu agen penyebabnya. Kami tidak mempunyai petunjuk kepada bahan tertentu selain daripada ia berkaitan dengan rokok atau vape,” kata Dr David D. Gummin, pengarah perubatan Wisconsin Poison Center, dan profesor dan ketua toksikologi perubatan di Kolej Perubatan Wisconsin.

Doktor pada mulanya mengesyaki bahawa pesakit mengalami penyakit berjangkit. Tetapi kegagalan pesakit untuk bertindak balas terhadap antibiotik menyebabkan para doktor percaya bahawa mereka penyakit mereka disebabkan oleh bahan toksik.

Antara hipotesis awal ialah kesemua pesakit telah membeli produk nikotin atau ganja yang digunakan sekali, dan kemudian diisi semula dengan bahan-bahan berbahaya yang sukar untuk dikesan.

Jabatan Kesihatan Wisconsin melaporkan 12 kes telah disahkan akibat vape, manakala 14 kes masih dalam kategori disyaki.

Pegawai kesihatan Wisconsin juga mengatakan bahawa pesakit menggunakan sistem tangki terbuka dan peranti dengan katrid yang boleh ditukar ganti.

Dr Emily Chapman, ketua pegawai perubatan untuk Hospital Kanak-kanak Minnesota, berkata beliau telah merawat empat kes kerosakan paru-paru yang teruk sepanjang Julai, termasuk remaja yang mengalami masalah pernafasan.

“Risikonya ialah jika pesakit dirawat di mana-mana pusat kesihatan, mereka tidak akan menyangka penyakit yang dihidapi ada kena-mengena dengan vape. Jika ditanya sekalipun, mereka tidak akan berkongsi maklumat itu,” Chapman berkata.

Chapman juga bimbang dengan pandangan orang ramai yang vape adalah selamat.

“Kita mempunyai pengalaman yang sangat sedikit dengan vape berbanding dengan rokok dan cerut. Ada begitu banyak yang kita tidak tahu,” katanya.

Satu kajian baru-baru ini dari Yale dan Duke mengenal pasti bahan kimia yang dipanggil aseton dalam beberapa cecair vape Juul. Bahan kimia itu, kata para penyelidik, mungkin memberi kesan kepada paru-paru dan boleh menyebabkan kerosakan apabila dihisap.

Juul tidak bersetuju dengan kesimpulan kajian itu.

“Analisis pendedahan penyelidik gagal mempertimbangkan keadaan dunia sebenar, termasuk pendedahan manusia yang realistik terhadap produk wap seperti Juul,” kata Lindsay Andrews, jurucakap Juul.

Agensi Amerika Syarikat Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) sedang mengkaji sama ada terdapat hubungan langsung antara penggunaan vape dan risiko sawan atau masalah neurologi lain. Agensi itu telah menerima 127 laporan mengenai sawan atau gejala neurologi lain, bermula tahun 2010.

Jabatan kesihatan awam negeri sedang bekerjasama dengan FDA dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk menentukan apa yang menyebabkan masalah kesihatan tersebut.

“Agensi ini bekerjasama dengan pegawai kesihatan negeri untuk mengumpulkan lebih banyak informasi tentang apa saja produk atau bahan yang digunakan,” kata Michael Felberbaum, seorang jurucakap FDA.

“Kami menggalakkan orang ramai untuk mengemukakan laporan terperinci mengenai sebarang masalah kesihatan atau produk kepada FDA.”

You may also like