JAS Selaraskan Tindakan Agensi Atasi Masalah Jerebu

Satu lokasi di Sarawak mencatat bacaan IPU pada tahap bahaya, manakala kualiti udara di dua tempat lagi sangat tidak sihat.

KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Dua pelan tindakan diaktifkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menyelaraskan tindakan oleh agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

Langkah mewujudkan dua pelan itu, Pelan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, dibuat selepas kualiti udara mencapai tahap bahaya di kawasan Miri dan Kuala Baram di Sarawak sejak dua hari lalu.

“Pihak kami juga mengeluarkan notis arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada semua pemilik tanah di kawasan tanah gambut Kuala Baram, Sarawak bagi mencegah dan mengawal kebakaran di kawasan berkenaan.

“Kami juga menjalankan rondaan operasi harian ke kawasan berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka selain menyalurkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kepada Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak untuk tindakan susulan,” kata Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar, kepada Bernama.

Dalam masa yang sama, Norlin memaklumkan langkah proaktif sudah diambil bagi mengatasi masalah jerebu di Sarawak, seperti meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka dan lain-lain punca yang berpotensi memberi kesan kepada masalah tersebut.

Turut dijalankan ialah kerjasama dengan agensi lain dalam melaksanakan prosedur operasi standard kebakaran di tanah gambut bagi mencegah dan mengawal kebakaran serta menyebarkan maklumat.

Norlin dilaporkan berkata bahawa beliau berharap semua pihak berkepentingan dan pemilik tanah memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut serta tanah pertanian dan industri.

“Orang ramai pula diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka sehingga menjejaskan kualiti udara setempat. JAS akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyebabkan pembakaran terbuka di bawah Seksyen 29(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya lagi.

Setakat jam 9 pagi hari ini, stesen Institut Latihan Perindustrian Miri mencatat bacaan IPU 363 pada tahap bahaya, manakala bacaan IPU di stesen Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 menurun dari tahap bahaya kepada peringkat sangat tidak sihat dengan bacaan IPU 278.

Sri Aman, Sarawak, mencatat IPU 237 pada peringkat sangat tidak sihat.

You may also like