Kualiti Udara Dua Lokasi Sarawak Masih Berbahaya

Pembenihan awan akan dibuat di beberapa kawasan di Sarawak.

KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Kualiti udara di Miri dan Kuala Baram di Sarawak terus menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya, dengan bacaan pada 352 dan 312 masing-masing setakat jam 10 pagi ini.

Sri Aman turut mencatatkan IPU tidak sihat dengan bacaan 136.

Majoriti lokasi lain di seluruh negara merekodkan bacaan IPU sederhana.

Laporan Bernama pada Isnin menyebut proses pembenihan awan akan dijalankan di beberapa kawasan di Sarawak.

“Satu Notis Pemberitahuan kepada NADMA (Agensi Pengurusan Bencara Negara) untuk melakukan pembenihan awan di kawasan Miri, Kuala Baram, Sibu dan Sri Aman telah dikeluarkan.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan apa-apa aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan lagi kualiti udara dan menyebabkan jerebu bertambah buruk,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

You may also like