Kerajaan Nafi Sengaja Lewatkan Laporan Pencemaran Pasir Gudang

Kajian pencemaran udara di Pasir Gudang masih berjalan sehingga kini.

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Kerajaan tidak “sengaja” melewatkan hasil laporan analisis pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor, timbalan menteri berkata hari ini.

Bernama melaporkan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis, berkata di Dewan Negara bahawa kajian tersebut masih berjalan sehingga kini. 

“Kita tidak dapat mengetahui punca pencemaran di Pasir Gudang sehingga sekarang, bukan seperti pencemaran Sungai Kim Kim yang kita tahu punca.

“Antara langkah dijalankan ialah kajian berkaitan ‘loading analysis’ (analisis beban) dan ‘carrying capacity’ (kapasiti tampungan) untuk menentukan kapasiti bawaan udara di Pasir Gudang bagi mengurangkan risiko pencemaran udara,” beliau dilaporkan berkata pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Isnaraissah menjawab soalan Senator Ong Chong Swen yang bertanya mengapa kerajaan masih memerlukan enam minggu dari tarikh lantikan jawatankuasa teknikal dan saintifik kajian analisis beban dan kapasiti tampungan, yang telah dilantik 15 Julai lepas, untuk mengeluarkan laporan awal.

Lebih daripada 1,000 orang di Pasir Gudang, kebanyakannya pelajar sekolah, menghadapi masalah kesusahan bernafas dan rasa loya sejak 20 Jun yang lalu. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengetahui punca masalah kesihatan tersebut.

Isnaraissah dilaporkan berkata setakat semalam, MESTECC telah melaksanakan 6,300 set cerapan udara yang dilakukan setiap hari dan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk membendung masalah pencemaran.

“Sementara, sehingga 12 Julai, sebanyak 255 premis industri diperiksa dengan 136 kompaun dikeluarkan, 11 premis diberi penahanan operasi manakala tiga syor tindakan mahkamah dilakukan.”

You may also like